BERITA TERKINI   Banjir Nepal: Malaysia sedang selaras penghantaran bantuan termasuk kemungkinan gerakkan SMART - PM Anwar | Hanya 30 buah sekolah di Lubok Antu, Sarawak ditutup setakat ini susulan bacaan IPU melebihi 200 - Timbalan Menteri Pendidikan | Sebanyak 11 sekolah baharu beroperasi tahun ini, termasuk tiga di Johor yang bermula Sept depan - Timbalan Menteri Pendidikan | Tujuh ditahan, dadah bernilai RM3.2 juta dirampas dalam siri serbuan di Pulau Pinang - Ketua Polis negeri | Banjir Nepal: Wisma Putra aktifkan bilik operasi 24 jam, ahli keluarga rakyat Malaysia terlibat digesa hubungi +603 8887 4570 atau dutyofficer@kln.gov.my | 

PPB Group Optimis Terhadap Prestasi Separuh Kedua 2026 Dalam Ketidaktentuan Geopolitik

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kumpulan konglomerat pelbagai sektor, PPB Group Bhd kekal optimis tetapi berhati-hati berhubung prestasinya bagi separuh kedua 2026 di sebalik perkembangan geopolitik, ketidaktentuan harga komoditi dan faktor luaran lain yang terus mempengaruhi persekitaran operasinya.

Perniagaan PPB Group merangkumi bijirin dan perniagaan agro, produk pengguna, pameran dan pengedaran filem serta hartanah.

Pengarah Urusan Kumpulannya Lim Soon Huat berkata konflik yang berterusan di rantau Laut Hitam dan Asia Barat dijangka menjejaskan persekitaran operasi kumpulan bagi baki tahun ini.

Ad Banner

"Meskipun sebahagian daripada perniagaan kami terus berdepan cabaran jangka pendek, kami turut melihat perkembangan yang menggalakkan di seluruh kumpulan," kata Lim.

"Berdasarkan lembaran imbangan yang kukuh dan kedudukan tunai bersih kami, kami percaya kami berada di kedudukan yang baik untuk mendepani persekitaran semasa yang mencabar.

"Kami akan terus meneroka peluang pertumbuhan yang dilihat mempunyai kepentingan strategik," katanya pada sidang media dan penganalisis PPB Group di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi segmen bijirin dan perniagaan agro, Lim memberitahu dengan perkembangan geopolitik di rantau Laut Hitam, keadaan cuaca yang tidak menentu serta dinamik perdagangan global terus menjejaskan harga bijirin.

Pengukuhan nilai ringgit memberi sedikit kelegaan kepada kos import walaupun kemerosotan margin berlanjutan, katanya.

"Kami akan terus memperkemas perolehan, mengurus inventori secara berhemah, meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan hubungan pelanggan selain meningkatkan penguasaan pasaran menerusi penetapan harga yang kompetitif, kualiti produk yang konsisten dan diyakini serta perkhidmatan bernilai tambah.

"PPB juga terus memodenkan dan mengautomasikan kilang serta jenteranya termasuk menerusi penyiapan silo tambahan dan kemudahan pemunggahan di Pulau Indah pada separuh pertama tahun ini," katanya.

Silo merupakan struktur penyimpanan besar yang digunakan untuk menyimpan produk pertanian secara pukal seperti gandum, jagung dan bijirin lain.

Mengenai produk pengguna, Lim memberitahu segmen berkenaan terus berdepan persaingan sengit dan tekanan kos, namun kumpulan melihat peluang untuk meluaskan portfolio produk, liputan pengedaran serta asas pelanggannya.

"Pada separuh pertama, PPB memperkenalkan beberapa produk termasuk rangkaian bahan perisa baharu, pasta dan makanan dalam bungkusan selain mencari rangkaian agensi tambahan untuk memperluas liputan pasaran," jelasnya.

Menurut Lim, kumpulan juga lebih optimis terhadap perniagaan pameran dan pengedaran filemnya pada separuh kedua 2026 dipacu oleh senarai tayangan filem Hollywood dan tempatan yang lebih mantap.

"Selain daripada kandungan filem, usaha dan tumpuan kami sentiasa diberikan kepada usaha meningkatkan pengalaman menonton di pawagam, meningkatkan kadar kemasukan penonton dan jualan konsesi, mengembangkan pendapatan bukan tiket serta mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin.

“Kami juga terus melihat penglibatan positif menerusi program kesetiaan kami dengan keahlian GSC Rewards meningkat kepada 5.9 juta ahli,” kata Lim.

Bagi segmen hartanah, Lim memaklumkan PPB Group merancang untuk mengekalkan momentum jualan Lumina Bedong, melancarkan pembangunan Fasa 1B serta melaksanakan inisiatif terpilih bagi meningkatkan nilai aset di seluruh portfolio pusat beli-belahnya.

PPB Group mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu sebanyak RM338.08 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2026 daripada RM279.83 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan bagi suku yang dinilai merosot kepada RM1.31 bilion daripada RM1.35 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

PPB Group mengisytiharkan dividen interim sebanyak 13 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 yang akan dibayar pada 25 September kepada pemegang saham yang berdaftar setakat 11 September.

-- BERNAMA