Tiang Saran Kaji Semula Duti Setem Atas Perjanjian JV Tanah
SIBU, 28 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan disaran untuk mengkaji semula pengenaan duti setem berdasarkan nilai tanah bagi perjanjian usaha sama (JV) antara pemaju perumahan dengan pemilik tanah, memandangkan ia dibimbangi boleh meningkatkan kos pembangunan dan akhirnya menjejaskan kemampuan perumahan di Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata struktur pembangunan hartanah di negeri ini adalah berbeza dengan di Semenanjung Malaysia kerana banyak pemaju menjalankan projek secara JV dengan pemilik tanah berbanding memiliki tanah itu sendiri.
Di bawah dasar baharu itu, duti setem wajar dikenakan berdasarkan nilai tanah pada kadar antara satu hingga empat peratus, walaupun pemeteraian perjanjian JV tidak menjamin sesuatu projek itu akan diteruskan, kerana ia masih tertakluk kepada pelbagai kelulusan termasuk daripada Pihak Berkuasa Perancang Negeri.
"Jika mereka membeli tanah itu sendiri, sudah tentu mereka perlu membayar duti setem berdasarkan nilai tanah tetapi kebanyakan pemaju kita di Sarawak hanyalah pemaju JV, mereka bukan pemilik tanah.
“Menandatangani dokumen tidak bermakna projek itu akan diteruskan secara automatik memandangkan mereka masih perlu mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan melalui proses perancangan yang panjang,” katanya ketika berucap merasmikan Jerayawara Rumah dan Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2026 di Wisma Sanyan di sini hari ini.
Tiang berkata keperluan kewangan tambahan pada peringkat awal pembangunan boleh membebankan lagi industri perumahan Sarawak, yang sedang berhadapan dengan kos logistik dan bahan binaan yang lebih tinggi berbanding Semenanjung.
Oleh itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan semula perkara itu dengan mengambil kira keadaan Sarawak dan model pembangunan hartanahnya yang berbeza.
Sementara itu, Tiang berkata kerajaan Sarawak akan terus membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40 serta pembeli rumah kali pertama dalam mengatasi kekangan kewangan termasuk melalui skim bantuan deposit perumahan.
Sehingga Julai tahun ini, 387 pemohon telah mendapat manfaat daripada bantuan itu, mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri membantu rakyat Sarawak yang layak memiliki rumah mereka, katanya.
Tiang turut menasihatkan bakal pembeli mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai sesuatu projek hartanah, pilihan pembiayaan dan komitmen kewangan sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah.
Beliau berkata pameran seperti Jerayawara Rumah dan Hartanah SHEDA menyediakan platform kepada orang ramai untuk membandingkan pilihan hartanah, mendapatkan khidmat nasihat dan melibatkan diri secara terus dengan pemaju, institusi kewangan serta kerajaan.
-- BERNAMA