OSK Catat Untung Bersih Lebih Tinggi Kepada RM143.41 Juta Pada Suku Kedua
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- OSK Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang meningkat sedikit kepada RM143.41 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2026 daripada RM142.00 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Hasil juga meningkat kepada RM563.07 juta daripada RM510.61 juta, menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, OSK Holdings berkata semua segmen perniagaan mencatatkan keuntungan lebih tinggi dalam tempoh berkenaan, kecuali segmen industri yang terus terjejas akibat perbelanjaan operasi yang tinggi dan tekanan kos.
Pengerusi Eksekutif Tan Sri Ong Leong Huat berkata prestasi pada separuh pertama 2026 mencerminkan kekuatan dan keluasan platform perniagaan OSK yang dipelbagaikan.
“Kami telah menyaksikan momentum yang menggalakkan dalam perniagaan hartanah dan perkhidmatan kewangan kami, manakala sektor hospitaliti sedang mencatatkan pemulihan kerana hotel kami mula mendapat manfaat daripada permintaan yang lebih kukuh.
"Apa yang penting, kami juga melihat tanda-tanda yang menggalakkan dalam segmen perindustrian kami dari suku ke suku,” tambah beliau.
Beliau berkata walaupun persekitaran operasi kekal mencabar, kumpulan itu kekal fokus pada pelaksanaan yang baik, mengekalkan disiplin dan memastikan setiap perniagaan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ketika wujudnya permintaan yang mampan.
OSK memaklumkan segmen hartanah kekal sebagai penyumbang pertumbuhan terbesar kumpulan itu, dengan hasil meningkat sembilan peratus tahun ke tahun kepada RM435.3 juta, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 39 peratus kepada RM86.7 juta.
Peningkatan itu disokong oleh pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada projek pembangunan yang sedang berjalan, kadar jualan yang sihat, pengebilan kemajuan dan pencapaian penting dalam kerja-kerja pembinaan.
Pada suku kedua, hasil segmen hartanah meningkat 38 peratus suku ke suku kepada RM252.6 juta, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 21 peratus kepada RM47.5 juta.
Sementara itu, segmen perkhidmatan kewangan syarikat merekodkan peningkatan hasil sebanyak 12 peratus kepada RM158.5 juta, manakala keuntungan meningkat 15 peratus kepada RM69.8 juta.
Bagi segmen hospitaliti, hasil meningkat 13 peratus tahun ke tahun kepada RM55.0 juta, manakala kerugian sebelum cukainya mengecil kepada RM1.4 juta daripada RM2.5 juta sebelumnya.
“Pemulihan segmen itu mendapat lebih momentum pada suku kedua 2026, dengan hasil meningkat 14 peratus suku ke suku kepada RM29.3 juta, manakala segmen itu kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM1.0 juta daripada kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.4 juta pada suku sebelumnya,” tambah kumpulan itu.
Berhubung prestasi masa depan, OSK memaklumkan bahagian perniagaan kabelnya berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada perbelanjaan modal yang berterusan dalam sektor tenaga, pembangunan pusat data yang semakin berkembang, projek tenaga boleh baharu dan infrastruktur yang diterajui kerajaan.
“Kumpulan itu akan terus mengurus tekanan kos dan margin melalui kecekapan operasi, perolehan yang berdisiplin dan pengoptimuman kos, di samping kekal berwaspada terhadap ketegangan geopolitik, ketidaktentuan perdagangan, inflasi kos pembinaan dan turun naik harga bahan mentah,” tambahnya.
-- BERNAMA