Keuntungan Bersih RHB Bank Naik Kepada RM807.15 Juta
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih RHB Bank Bhd mencatatkan kenaikan kecil kepada RM807.15 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2026 berbanding RM803.50 juta yang disaksikan dalam suku yang sama tahun sebelumnya selepas disumbangkan oleh jumlah pendapatan yang lebih tinggi dan anggaran kerugian kredit yang lebih rendah.
Hasil bagi suku dalam tinjauan susut kepada RM4.35 bilion daripada RM4.50 bilion yang dicatatkan semasa suku kedua tahun kewangan 2025, kata bank itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
RHB juga menyaksikan peningkatan dalam keuntungan bersih sebanyak RM1.66 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2026 daripada RM1.55 bilion.
Hasil untuk tempoh dalam tinjauan berjumlah RM8.62 bilion berbanding RM8.88 bilion sebelumnya.
Sementara itu, kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham.
Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata prestasi separuh pertamanya mencerminkan pelaksanaan berdisiplin PROGRESS27, disokong oleh pengoptimuman kos yang berkesan, kualiti aset yang kukuh dan inovasi bermatlamat.
“Kami membuat kemajuan yang mantap dalam mengubah RHB menjadi rakan penyelesaian yang lebih dipercayai dan mengutamakan pelanggan, dengan tumpuan berterusan untuk menyampaikan nilai mampan kepada pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Rashid berkata pada suku itu, bank tersebut telah melancarkan RHB PAY, gerbang pembayaran dalam talian bersepadu milik bank pertama Malaysia, mengukuhkan keupayaan pembayaran digitalnya selain membolehkannya menyokong golongan peniaga dengan lebih baik.
Beliau menambah RHB PAY dijangka menjadi pemangkin utama untuk mengukuhkan perkongsian pedagang, mengembangkan aliran transaksi dan memacu sehingga RM500 juta dalam pertumbuhan akaun semasa dan simpanan (CASA) tambahan menjelang akhir tahun.
-- BERNAMA