Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Menjelang Simposium Jackson Hole
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Jumaat menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Kevin Warsh pada Simposium Jackson Hole lewat malam ini.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0230/0270 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0305/0350 pada Khamis.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peniaga akan memantau rapat ucapan Warsh untuk mendapatkan petunjuk tentang hala tuju dasar Fed semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 15-16 September depan.
“Kami berpandangan pengerusi Fed akan mengekalkan mandat kestabilan harga dan pekerjaan maksimum sebagai keutamaannya, yang akan menyebabkan hala tuju kadar faedah menjadi tidak jelas,” katanya kepada Bernama.
Para pelabur memantau rapat Simposium Jackson Hole, yang berlangsung dari 27-29 Ogos untuk mendapatkan petunjuk tentang langkah seterusnya Fed. Sebarang isyarat peralihan ke arah penurunan kadar boleh membawa kesan kepada dolar AS dan seterusnya memberi sokongan kepada ringgit.
Sementara itu, ahli strategi global Quintex Intel, Stephen Innes berkata pedagang pertukaran asing (FX) masih tidak pasti apa yang akan diperkatakan Warsh pada simposium itu.
"Bagaimanapun, saya berpandangan tiada apa yang penting akan diketengahkan pada malam ini.
"Saya menjangkakan ringgit meningkat secara beransur-ansur, disokong oleh keadaan perdagangan pertukaran asing yang baik dan minat risiko global yang agak stabil," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit juga ditutup tinggi berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5193/5219 daripada paras penutup 2.5274/5304 pada Khamis, naik berbanding pound Britain kepada 5.4632/4687 daripada 5.4714/4775 dan menokok berbanding euro kepada 4.6828/6874 daripada 4.6919/6971.
Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1652/1686 daripada paras penutup 3.1686/1724 pada Khamis, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.51/6.53 dan naik berbanding baht Thai kepada 12.2087/2253 daripada 12.2534/2715.
Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 227.3/227.7 daripada 227.1/227.5 sebelumnya.
-- BERNAMA