BERITA TERKINI   Umat Islam perlu jadi contoh melalui akhlak, amanah dan integriti - PM Anwar | Keupayaan UiTM melahirkan golongan profesional Bumiputera bukan lagi retorik, tetapi satu realiti - Sultan Selangor | Liga Super: Sabah FC 2-0 Penang FC | 36 rakyat Malaysia yang berada di Tibet dilaporkan selamat susulan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan bersempadan Nepal-China - KLN | Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 pada 30 Ogos ini di PICC, Putrajaya ditetapkan pada 2 petang - Kementerian Perpaduan Negara | 

Yinson Dalam Perbincangan Bagi Potensi Nyahsenarai Pada Rm2.35 Sesaham

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pemegang saham utama Yinson Holdings Bhd, Yinson Legacy Sdn Bhd (YLSB) mengadakan perbincangan awal dengan MISC Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekutunya serta pihak berkepentingan lain berhubung potensi cadangan untuk menyahsenaraikan syarikat berkenaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat infrastruktur tenaga global itu memaklumkan pihaknya menerima surat daripada YLSB untuk potensi penyahsenaraian pada harga tawaran indikatif sebanyak RM2.35 sesaham.

"Jika dilaksanakan, cadangan penyahsenaraian itu dijangka melibatkan pengambilalihan semua baki saham biasa dalam Yinson yang belum dipegang oleh YLSB dan pihak-pihak tertentu yang bertindak secara bersama dengannya manakala KWSP mengekalkan pegangan saham efektif sedia adanya dalam syarikat," jelasnya.

Ad Banner

Menurut Yinson perbincangan antara pihak-pihak terbabit masih dilaksanakan dan penilaian lanjut sedang dijalankan memandangkan harga tawaran muktamad masih tertakluk kepada perubahan berdasarkan, antara lain proses ketekunan wajar dan kebolehlaksanaan komersial cadangan penyahsenaraian itu.

Syarikat berkenaan memaklumkan cadangan penyahsenaraian itu masih tertakluk kepada, antara lain, penilaian dan rundingan di antara pihak-pihak terlibat, pemeteraian perjanjian muktamad, penentuan harga tawaran akhir serta kelulusan dan syarat wajar lain yang diperlukan sebagaimana yang mungkin ditetapkan.

"Justeru, tiada jaminan perbincangan berkenaan akan membawa kepada atau menghasilkan pelaksanaan cadangan penyahsenaraian itu. Notis ini bukan merupakan hasrat muktamad untuk menyahsenaraikan Yinson dan tiada kepastian bahawa sebarang tawaran atau urus niaga akhirnya akan dibuat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Pemegang saham dan pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berurusan dalam sekuriti Yinson. YLSB akan membuat pemberitahuan yang sewajarnya mengenai sebarang perkembangan material berhubung perkara tersebut seiring undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa," tambahnya.

Pada penutup dagangan hari ini, saham syarikat merosot tujuh sen kepada RM2.15 dengan 11.37 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA