BERITA TERKINI   Kerjasama NADI, PKD utamakan sinergi, penyampaian perkhidmatan kepada rakyat -- Fahmi | Bomba kelantan sedia gerak pasukan STORM bantu SAR enam pendaki hilang di Gunung Trans Gerah, Gua Musang - Pengarah | Dua kanak-kanak antara enam individu dikhuatiri hilang dalam pendakian merentas Gunung Trans Gerah, Gua Musang - Bomba Kelantan | 
Ad Banner

Institusi Tempatan Teruskan Belian Selama Enam Minggu Dengan Aliran Masuk RM120.3 Juta

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan belian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM120.3 juta pada minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam Laporan Aliran Dana mingguan untuk minggu berakhir 4 Sept, 2026, bank pelaburan itu memaklumkan purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan menyeluruh, dengan pelabur runcit susut sebanyak 10.8 peratus, institusi tempatan pada 9.4 peratus dan institusi asing 30.5 peratus.

“Sementara itu, pelabur runcit meneruskan pembelian bersih mereka untuk dua minggu berturut-turut, merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM520 juta,” tambahnya.

Ad Banner

Menurutnya, institusi asing meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu kelima berturut-turut di Bursa Malaysia, merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM640.3 juta pada minggu lepas.

“Ini (jualan) berlaku semasa minggu dagangan yang pendek, dengan pasaran ditutup pada Isnin (31 Ogos) sempena Hari Kebangsaan Malaysia.

“Institusi asing merupakan penjual bersih sepanjang minggu itu. Aliran keluar tertinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM488.4 juta, diikuti oleh Khamis (RM74.6 juta), Rabu (RM56.8 juta) dan Jumaat (RM20.5 juta),” menurutnya lagi.

Ad Banner
Ad Banner

MBSB IB memaklumkan tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah perladangan sebanyak RM138.2 juta, diikuti oleh pengangkutan dan logistik (RM81.4 juta), serta tenaga (RM40.3 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas yang merekodkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan dengan aliran keluar sebanyak RM462.9 juta, diikuti oleh teknologi (RM118.8 juta) dan utiliti (RM106.8 juta).

Bagi lapan pasaran Asia yang dipantau oleh MBSB IB, pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka untuk dua minggu berturut-turut, merekodkan aliran keluar bersih sebanyak US$4.88 bilion pada minggu lepas.

“Aliran keluar bersih diketuai oleh Taiwan, diikuti oleh Korea Selatan, India, Malaysia, Vietnam dan Filipina.

“Sementara itu, Indonesia dan Thailand merupakan satu-satunya pasaran yang merekodkan aliran masuk asing bersih, walaupun jumlah itu tidak mencukupi dalam mengimbangi keseluruhan jualan bersih untuk rantau berkenaan,” tambah MBSB IB.

-- BERNAMA