BERITA TERKINI   Bayi perempuan empat bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taska di Dungun | Bencana Nepal: Kerajaan mohon kebenaran hantar pakar DNA bantu kenal pasti jasad mangsa - Mohamad Hasan | Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta usahakan penyelesaian terbaik bantu rakyat terkandas susulan letusan gunung berapi - Mohamad Hasan | Malaysia dan Thailand selaras kerjasama pelbagai agensi isu keselamatan sempadan - Mohamad Hasan | 
Ad Banner

Minat Belian Dalam Saham Perbankan, Telco Pacu Bursa Malaysia Ditutup Meningkat

Oleh Rosemarie Khoo dan Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan lebih tinggi pada Isnin, disokong oleh minat belian baharu terhadap saham wajaran tinggi terpilih dalam sektor perbankan dan telekomunikasi, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, indeks penunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.69 mata atau 0.39 peratus kepada 1,714.79 mata, berbanding paras penutup Jumaat pada 1,708.10 mata.

Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka tinggi 1.60 mata pada 1,709.70 mata dan bergerak dalam julat 1,708.26 hingga 1,715.29 mata sepanjang dagangan hari ini.

Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 611 berbanding 488 manakala 580 kaunter tidak berubah, 1,109 tidak didagangkan dan 25 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.60 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 4.33 bilion unit bernilai RM2.98 bilion pada Jumaat.

Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup bercampur-campur selepas petunjuk yang lebih lemah daripada Wall Street pada Jumaat lepas, walaupun saham teknologi kekal berdaya tahan apabila optimisme terhadap kecerdasan buatan (AI) mendorong permintaan untuk pembuat cip.

Sementara itu, beliau berkata sentimen di China menerima sedikit rangsangan selepas Beijing mengumumkan suntikan modal 360 bilion yuan ke dalam bank dan penanggung insurans milik negara, termasuk 300 bilion yuan yang akan dibiayai melalui bon Perbendaharaan khas.

Ini berlaku apabila pembuat dasar negara itu meningkatkan usaha untuk mengukuhkan institusi kewangan dan mengekalkan pertumbuhan kredit.

“Bagi bursa tempatan (Bursa Malaysia), kami kekal berhati-hati meskipun penutupan positif hari ini, memandangkan harga minyak mentah yang tinggi dan kenaikan hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.

Thong juga berkata harga tenaga lebih tinggi dijangka mengekalkan tekanan inflasi global yang tinggi, manakala peningkatan hasil bon mungkin terus memberi kesan kepada minat risiko apabila pelabur menilai semula prospek kadar faedah AS.

Namun, pembelian semula saham-saham penting perbankan dan telekomunikasi, ditambah pula dengan asas domestik berdaya tahan, sepatutnya memberikan sedikit sokongan kepada indeks penanda aras.

"Melihat ke depan, kami menjangkakan FBM KLCI akan kekal dalam jajaran kecil apabila pelabur mengimbangi faktor domestik yang menyokong terhadap ketidakpastian luaran.

"Tumpuan akan kekal pada perkembangan di Asia Barat, pergerakan hasil bon global dan data inflasi AS yang akan datang untuk petunjuk selanjutnya mengenai hala tuju dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS," katanya.

Dengan minat belian mungkin akan berlaku disebabkan oleh kelemahan tetapi rintangan luaran mengehadkan peningkatan, Thong menjangkakan FBM KLCI akan diniagakan dalam jajaran 1,700-1,730 minggu ini.

Sementara itu,  Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata daya tahan bursa tempatan meskipun hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi menunjukkan bahawa ekuiti domestik kurang sensitif terhadap perubahan jangkaan kadar AS, dengan pelabur mengutamakan sektor disokong oleh pendapatan dan permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Kenaikan menyeluruh ini juga menunjukkan bahawa kekuatan pasaran tidak hanya terhad kepada satu sektor sahaja, sekali gus mewujudkan asas lebih kukuh untuk indeks,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank and Public Bank naik 2.0 sen masing-masing kepada RM10.58 dan RM5.00, CIMB tidak berubah pada RM8.00, Tenaga Nasional menambah 22 sen kepada RM13.84, manakala IHH Healthcare merosot 5.0 sen kepada RM7.90.

Bagi saham aktif, Zetrix AI menokok 1.5 sen kepada 27 sen, HHRG meningkat 6.0 sen kepada 20.5 sen, Ingenieur Gudang susut 1.0 sen kepada 3.5 sen, manakala Key Asic, melonjak setengaj sen kepada 7.0 sen, dan Capital A menguncup 2.0 sen kepada 29 sen. 

Antara kaunter paling untung, Petronas Gas naik 44 sen kepada RM17.70, Malaysian Pacific Indusries meningkat 42 sen kepada RM39.82, Kuala Lumpur Kepong menambah 24 sen kepada RM22.50, manakala United Plantations dan UMS Integration menokok 14 sen masing-masing kepada RM32.20 dan RM8.24.

Kaunter paling rugi pula, Nestle susut 94 sen kepada RM93.90, Hong Leong Industries merosot 22 sen kepada RM17.40, Allianz Malaysia turun 20 sen kepada RM21.38, manakala Hong Leong Financial dan Petronas Dagangan berkurangan 18 sen masing-masing kepada RM18.82 dan RM19.98.

Bagi indeks pula, Indeks FBM ACE menambah 40.84 mata kepada 5,258.31 mata, Indeks FBM Emas meningkat 35.04 mata kepada 12,660.49 mata, Indeks FBM Top 100 naik 37.79 mata kepada 12,467.05 mata, Indeks FBM Emas Syariah naik 49.83 mata kepada 12,419.53 mata dan Indeks FBM 70 melonjak 7.66 mata kepada 17,776.86 mata.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 27.25 mata kepada 20,188.74 mata, Indeks Perladangan meningkat 50.76 mata kepada 9,338.68 mata, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 186.96 mata, manakala Indeks Tenaga menokok 3.59 mata kepada 809.21 mata.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.08 bilion unit bernilai RM2.14 bilion daripada 3.05 bilion unit bernilai RM2.69 bilion pada Jumaat.

Dagangan waran pula merosot kepada 849.55 juta unit bernilai RM114.67 juta, berbanding 856.32 juta unit bernilai RM132.80 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 665.26 juta unit bernilai RM196.54 juta berbanding 426.28 juta unit bernilai RM157.20 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 288.70 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (350.98 juta), pembinaan (111.44 juta), teknologi (893.19 juta), perkhidmatan kewangan (57.07 juta), hartanah (91.34 juta), perladangan (35.80 juta), amanah pelaburan hartanah (13.20 juta), dana tertutup (29,200), tenaga (70.39 juta), penjagaan kesihatan (72.32 juta), telekomunikasi dan media (25.74 juta), pengangkutan dan logistik (42.16 juta), utiliti (35.67 juta) serta amanah perniagaan (103,800).

-- BERNAMA