Syarikat Tempatan Perlu Segera Laksana Automasi Dalam Operasi, Pengeluaran - Johari
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Syarikat tempatan tanpa mengira saiz perlu segera melaksanakan automasi bertujuan memudahkan operasi dan pengeluaran tanpa bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata ini memandangkan bekalan pekerja asing pada masa depan tidak akan berada pada kadar yang sama seperti hari ini.
“Kita mahu banyak syarikat, tanpa mengira saiz sama ada mikro, kecil atau sederhana, memahami betapa pentingnya membawa automasi ke dalam operasi dan pengeluaran secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Wanita, Kecerdasan Buatan (AI) dan Ekonomi Digital di sini hari ini.
Beliau berkata pekerja asing sebenarnya dibawa masuk untuk melakukan pekerjaan kotor, berbahaya dan sukar (3D), bukannya untuk menggantikan pekerja tempatan.
“Kita kena berlaku adil kepada pekerja tempatan, kehidupan mereka tidak sama seperti pekerja asing. Rakyat kita mempunyai ramai ahli keluarga yang perlu ditanggung di sini,” katanya.
Johari berkata majikan yang mendakwa rakyat tempatan tidak mahu bekerja perlu meneliti semula tawaran mereka.
“Jika ditawarkan dengan gaji minimum, mungkin mereka tidak mahu kerana tidak nampak nilai ekonominya. Rakyat kita sanggup pergi ke Singapura untuk bekerja kerana ada nilai ekonomi,” katanya.
Forum itu menghimpunkan perspektif kepimpinan kerajaan, akademia, industri dan keusahawanan untuk membincangkan peranan wanita dalam era AI, khususnya persoalan mengenai siapa yang mencipta dan memiliki nilai apabila AI semakin membentuk ekonomi masa depan.
-- BERNAMA