New Delhi Perketat Keselamatan, Protokol Trafik Sempena Perjumpaan Pemimpin BRICS
Daripada M.Saraswathi
NEW DELHI, 10 Sept (Bernama) -- Sempena Sidang Kemuncak BRICS ke-18 pada hujung minggu ini di sini, New Delhi mempertingkat kawalan keselamatan serta mengetatkan protokol pergerakan termasuk lencongan lalu lintas di sepanjang laluan utama di bandar ini bagi memastikan pergerakan lancar para pemimpin.
Menurut laporan, kira-kira 25,000 anggota keselamatan, termasuk polis trafik, pasukan separa tentera dan Pengawal Keselamatan Negara (NSG), telah dikerahkan untuk memastikan pengawasan dan pergerakan yang lancar di sepanjang laluan utama, terutamanya di sekitar pusat pameran dan konvensyen Bharat Mandapam, tempat berlangsungnya sidang kemuncak itu.
Sidang kemuncak yang dihoskan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi itu bertemakan "Membina Daya Tahan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan", dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.
Selain itu, para pemimpin akan bertukar-tukar pandangan tentang pengukuhan kerjasama intra-BRICS, keutamaan bersama dan berkongsi perspektif mengenai isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.
Sidang kemuncak itu akan menghimpunkan para pemimpin negara anggota dan negara rakan BRICS, serta para jemputan lain.
Antara pemimpin utama negara anggota BRICS yang dijangka hadir pada sidang kemuncak itu ialah Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden China Xi Jinping, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.
Pemimpin dari negara rakan yang juga dijadualkan hadir ialah Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Habsyah Abiy Ahmed.
Di bawah kepengerusian India tahun ini, lebih 350 mesyuarat dan sesi libat urus peringkat tinggi telah diadakan di lebih 25 bandar di seluruh India untuk memperkukuh lagi perkongsian strategik BRICS merentasi tiga tonggak asas, iaitu politik dan keselamatan, ekonomi dan kewangan, serta perkongsian budaya sesama rakyat.
Kumpulan BRICS, yang berfungsi sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik untuk negara-negara Selatan Global serta platform kerjasama merentasi pelbagai sektor, pada asalnya ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China.
Perkumpulan itu kemudiannya berkembang dengan kemasukan Afrika Selatan pada 2011, diikuti Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023, dan Indonesia pada 2024.
Malaysia, serta Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan, diterima sebagai negara rakan BRICS.
Sebagai ahli pengasas BRICS, India sebelum ini telah memegang jawatan pengerusi sebanyak tiga kali pada 2012, 2016 dan 2021. India mengambil alih jawatan pengerusi BRICS keempat pada 1 Januari 2026.
-- BERNAMA