Jumlah Stok Minyak Sawit Malaysia Naik 7.48 Peratus Kepada 2.82 Juta Tan Pada Ogos -- MPOB
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 196,590 tan atau 7.48 peratus kepada 2.82 juta tan pada Ogos 2026 berbanding 2.62 juta tan pada bulan sebelumnya.
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat 15.20 peratus atau 217,092 tan kepada 1.64 juta tan pada Ogos 2026 daripada 1.42 tan pada Julai 2026.
“Bagaimanapun, simpanan stok minyak sawit diproses menyusut sebanyak 1.71 peratus kepada 1.17 juta tan daripada 1.19 juta tan pada Julai,” menurut MPOB dalam laporan prestasinya mengenai Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Ogos 2026.
Mengenai pengeluaran, MPOB menambah bahawa pengeluaran MSM meningkat 1.39 peratus atau 24,903 tan, kepada 1.81 juta tan berbanding 1.79 juta pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirong sawit turut meningkat 1.97 peratus bulan ke bulan kepada 430,599 tan daripada 422,272 tan.
Pengeluaran minyak isirong sawit mentah meningkat 0.10 peratus kepada 199,589 tan daripada 199,392 tan pada Julai, manakala pengeluaran hampas isirong sawit menokok 0.25 peratus kepada 215,847 tan daripada 215,304 tan.
Menurut MPOB lagi, eksport minyak sawit merosot 7.50 peratus pada Ogos 2026 kepada 1.29 juta tan daripada 1.39 juta tan pada bulan sebelumnya.
Eksport minyak isirong sawit turut meningkat sebanyak 37.22 peratus kepada 112,879 tan daripada 82,261 tan bulan lepas, manakala eksport hampas isirong sawit turut meningkat 6.45 peratus kepada 216,584 tan daripada 203,454 tan.
Sementara itu, eksport oleokimia susut 12.72 peratus kepada 233,545 tan daripada 267,576 tan pada Julai, manakala eksport biodiesel meningkat sebanyak 22.59 peratus kepada 35,240 tan daripada 28,745 tan bulan lepas.
Pada masa sama, MPOB turut melaporkan bahawa tiada import MSM pada Ogos. Minyak sawit diproses dan minyak sawit masing-masing susut 0.09 peratus kepada 49,524 tan berbanding 49,566 tan pada Julai.
Import minyak isirong sawit pada Ogos pula meningkat 21.14 peratus kepada 13,985 tan daripada 11,545 tan pada bulan sebelumnya.
-- BERNAMA