Bank Islam Peruntuk RM6 Juta Setahun Biayai Pendidikan, Usahawan
KOTA BHARU, 10 Sept (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad memperuntukkan RM6 juta setahun menerusi Program Sadaqa House bagi membiayai pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan usahawan di seluruh negara.
Ketua Pegawai Syariah dan Kelestarian Kumpulan Bank Islam Mohd Nazri Chik berkata peruntukan itu disalurkan bagi membantu komuniti, khususnya dalam memperluas akses pendidikan serta menyediakan sokongan kepada golongan yang ingin mengembangkan perniagaan.
“Sehingga kini, lebih 2,500 usahawan mikro di seluruh negara telah menerima manfaat daripada skim pembiayaan dan sokongan kewangan Bank Islam,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Sumbangan dan Majlis Jamuan Tengah Hari bersama Pengurusan Kanan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) di sini hari ini.
Mohd Nazri berkata antara inisiatif terbaharu ialah Program Sulung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), yang menyediakan biasiswa penuh kepada 27 pelajar anak sulung daripada keluarga kurang berkemampuan.
Beliau berkata program itu bertujuan memberi peluang dan dorongan kepada penerima untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam, kami melihat usaha membantu masyarakat bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat, tetapi perlu memberi impak yang berterusan kepada kehidupan penerima,” katanya.
Beliau berkata pendekatan berkenaan berteraskan konsep Kewangan Sosial yang selaras dengan dasar kelestarian Bank Islam dan prinsip Maqasid Syariah.
Dalam perkembangan berkaitan, Bank Islam turut memperkukuh pembangunan komuniti di Kelantan menerusi sumbangan lebih RM225,000 kepada institusi pendidikan, kebajikan dan kemudahan komuniti setempat.
Daripada jumlah itu, RM125,406 diperuntukkan bagi kerja baik pulih Asrama Putera dan naik taraf Pasar Mini Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim, manakala RM80,000 disalurkan bagi penyediaan sebuah kenderaan serba guna kepada Maahad Tahfiz Az-Zainab.
Sebanyak RM20,000 lagi diperuntukkan bagi pembinaan Dewan Mesra Orang Kurang Upaya dan Warga Emas di Masjid An-Nur, Kota Kubang Labu, Wakaf Bharu.
-- BERNAMA