RHB IB Unjur Peruntukan Belanjawan 2027 Kerajaan Persekutuan Pada RM437.8 Bilion
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengunjurkan jumlah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Belanjawan 2027 adalah sebanyak RM437.8 bilion.
Sementara itu, perbelanjaan pembangunan (DE) diunjurkan meningkat kepada RM83 bilion daripada RM81 bilion dalam Belanjawan 2026, menurut RHB IB dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Bank pelaburan itu menyatakan Belanjawan 2027 dijangka kekal sedikit berkembang sambil meneruskan langkah pengukuhan fiskal dengan sasaran defisit fiskal berkemungkinan kekal pada sekitar 3.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
"Oleh itu, gabungan dasar secara keseluruhannya wajar menyediakan bantuan bersasar bagi jangka masa pendek sambil mengekalkan ruang fiskal untuk pelaburan strategik dan memperkukuh potensi pertumbuhan jangka sederhana Malaysia," jelasnya.
Kerajaan dijangka membentangkan Belanjawan 2027 dengan tema "menggapai di langit, mengakar di bumi" pada 9 Okt, 2026.
Belanjawan negara akan memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu kemampanan fiskal; pertumbuhan terangkum dan pembangunan infrastruktur; perlindungan sosial dan sokongan kos sara hidup; memperkukuh iklim perniagaan dan pelaburan serta tenaga, keterjaminan makanan dan daya tahan iklim.
Belanjawan kali ini mungkin mengutamakan daya tahan ekonomi Malaysia sambil membina asas untuk pertumbuhan jangka sederhana yang mampan.
"Kerajaan dijangka mengekalkan sokongan bersasar kepada isi rumah sambil menyalurkan sumber kepada pembuatan termaju, peralihan tenaga, aeroangkasa dan bahan kimia selain meneruskan usaha pengukuhan fiskal," menurut RHB IB.
Dari sudut pertumbuhan, Belanjawan 2027 berkemungkinan besar memperkukuh agenda perubahan struktur kerajaan menerusi pelaksanaan berterusan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Negara (NSS).
Selain itu, pertimbangan berkenaan iklim dan keterjaminan makanan juga berkemungkinan diberi penekanan yang lebih mendalam memandangkan potensi impak El Niño serta keadaan cuaca yang semakin tidak menentu.
Sehubungan itu, peruntukan tambahan dijangka disalurkan bagi meningkatkan produktiviti pertanian, sistem pengairan, pengurusan sumber air dan adaptasi iklim selain bantuan bersasar kepada para petani serta pesawah yang terjejas, jelasnya.
Mengenai perbelanjaan pembangunan, keutamaan berkemungkinan merangkumi keterhubungan pengangkutan, infrastruktur air dan elektrik, tebatan banjir, penjagaan kesihatan dan pendidikan selain pembangunan berterusan di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar.
RHB IB tidak mengunjurkan kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu yang ketara di bawah Belanjawan 2027.
Sebaliknya, strategi fiskal dijangka mengutamakan pengoptimuman perolehan dan penyatuan fiskal dengan penekanan yang lebih besar terhadap memperkukuh pentadbiran cukai, menutup ketirisan hasil dan meluaskan asas cukai yang berkesan dalam rangka kerja sedia ada.
"Atas dasar ini, hasil pertambahan berkemungkinan besar diperoleh terutamanya daripada penambahbaikan kepada rangka kerja Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), langkah-langkah duti eksais terpilih dan peningkatan pematuhan cukai," menurutnya.
RHB IB turut mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada kadar 4.9 peratus pada 2027 berbanding 5.4 peratus pada 2026 disokong oleh penggunaan swasta yang kekal berdaya tahan, penyaluran modal ke sektor-sektor strategik serta pelaksanaan inisiatif nasional utama.
Bank pelaburan itu memaklumkan, pelaburan dijangka kekal kukuh disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur, pembangunan pusat data dan pengembangan sektor pembuatan manakala penggunaan swasta dijangka didorong oleh pasaran tenaga kerja yang aktif serta peningkatan pendapatan isi rumah.
Ia menambah bahawa risiko luaran masih wujud khususnya berkaitan dasar tarif Amerika Syarikat, kemampanan kitaran pelaburan kecerdasan buatan (AI) dan ketegangan geopolitik.
Namun jelasnya, ekonomi Malaysia yang pelbagai serta integrasinya yang kukuh dalam rantaian bekalan serantau dan global dijangka menjadi penampan kepada sebahagian daripada risiko tersebut.
Inflasi dijangka kekal terkawal dengan inflasi keseluruhan diunjurkan pada 1.9 peratus pada 2027 daripada 2.1 peratus pada 2026 manakala harga komoditi global, perubahan dasar domestik dan kos makanan kekal sebagai risiko utama.
Bagaimanapun, permintaan domestik yang stabil, ringgit yang agak stabil serta penyaluran kenaikan harga secara beransur-ansur dijangka membantu membendung tekanan berkenaan, jelas RHB IB.
-- BERNAMA