Jualan Borong, Runcit Malaysia Naik 9.0 Peratus, Catat RM170.5 Bilion Pada Julai 2026
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia berjumlah RM170.5 bilion pada Julai 2026, meningkat 9.0 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataan hari ini, DOSM memaklumkan ketiga-tiga subsektor terus mencatat pertumbuhan pada Julai 2026.
“Perdagangan borong mencatat jualan RM78.4 bilion, meningkat RM8.2 bilion atau 11.7 peratus tahun ke tahun. Perdagangan runcit pula meningkat RM4.3 bilion atau 6.4 peratus kepada RM71.3 bilion, manakala subsektor kenderaan bermotor berkembang RM1.5 bilion atau 7.9 peratus kepada RM20.8 bilion.
“Secara keseluruhannya, ketiga-tiga subsektor itu menyumbang RM14.1 bilion kepada peningkatan jualan, diterajui perdagangan borong, diikuti perdagangan runcit dan kenderaan bermotor,” menurutnya.
DOSM memaklumkan perdagangan borong kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan keseluruhan pada Julai 2026, dengan pertumbuhan 11.7 peratus.
“Prestasi itu didorong terutamanya oleh kumpulan perdagangan borong khusus lain yang melonjak 22.8 peratus kepada RM31.7 bilion, disokong oleh peningkatan jualan petrol, diesel, pelincir dan gas petroleum cecair (LPG),” menurutnya.
Sementara itu, subsektor perdagangan runcit terus mencatat prestasi positif pada Julai 2026, dengan jualan meningkat 6.4 peratus kepada RM71.3 bilion.
“Prestasi itu diterajui jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 7.2 peratus kepada RM27.6 bilion, disokong oleh jualan di pasar raya dan gedung serbaneka,” menurutnya.
DOSM memaklumkan subsektor kenderaan bermotor berkembang 7.9 peratus pada Julai 2026, didorong terutamanya oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 8.3 peratus kepada RM10.7 bilion.
Menurutnya, indeks jualan runcit dalam talian turut meningkat 7.4 peratus tahun ke tahun pada Julai 2026, namun pada kadar yang lebih sederhana berbanding pertumbuhan 9.0 peratus pada Jun 2026.
-- BERNAMA