BERITA TERKINI   Lembaga Pengarah AI Malaysia Bhd menghimpunkan barisan pemimpin daripada sektor awam dan swasta - Kementerian Digital | Aireen Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah AI Malaysia Bhd - Kementerian Digital | Jemaah Menteri luluskan secara prinsip pertambahan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak selaras dengan MA63 - PM Anwar | Jemaah Menteri luluskan secara prinsip pertambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak selaras dengan MA63 - PM Anwar | Pengumuman jumlah bayaran interim untuk Sarawak pada Sambutan Hari Malaysia di Kuching, 16 Sept - PM Anwar | 

Malaysia Sedia Raih Kelebihan Gelombang Kedua Pengkomputeran AI ASEAN - Ahli Ekonomi

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih kelebihan sebagai peneraju awal dalam gelombang kedua pembangunan infrastruktur pengkomputeran hiperskala dan kecerdasan buatan (AI) di ASEAN.

Ketua Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata kelebihan itu didorong kos yang kompetitif, kesalinghubungan yang kukuh serta ekosistem semikonduktor yang mantap.

Ad Banner

Katanya, berikutan persaingan infrastruktur ASEAN pada fasa seterusnya semakin ditentukan oleh kapasiti pengkomputeran, Malaysia, muncul sebagai destinasi yang semakin penting apabila kekangan tanah, elektrik dan air mendorong pelaburan beralih dari Singapura.

“Malaysia menawarkan tanah pada harga yang kompetitif, kesalinghubungan gentian yang meluas, koridor perindustrian yang boleh diperluas, kepakaran mendalam dalam sektor semikonduktor serta kedudukan yang berdekatan dengan Singapura.

“Johor pula semakin berkembang sebagai kluster pada skala yang lebih besar, manakala Kuala Lumpur muncul sebagai hab pengkomputeran perusahaan dan kesalinghubungan. Johor kini kukuh dalam peta pelaburan hiperskala global,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner

Shan berkata komitmen pelaburan dalam sektor pusat data dan pengkomputeran awan Malaysia tidak kurang besarnya dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan pelaburan berjumlah RM144.4 bilion antara 2021 hingga pertengahan 2025.

Beliau berkata setakat Ogos 2025, Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut memeterai perjanjian bekalan elektrik bagi 47 projek yang mewakili permintaan maksimum sebanyak 6.7 gigawatt (GW).

Dalam pada itu, pelbagai projek semakin rancak dilaksanakan, antaranya pelaburan US$3 bilion oleh AirTrunk dalam dua kemudahan di Johor dengan kapasiti gabungan melebihi 280 megawatt (MW).

Kemudahan tersebut turut dijangka meningkatkan jumlah kapasiti portfolio AirTrunk di Malaysia kepada lebih 700 MW dan jumlah pelaburan kepada US$6.8 bilion.

Sementara itu, firma Equinix pula melabur lebih US$190 juta untuk kemudahan keempatnya di Malaysia, manakala Firmus yang disokong Nvidia akan membekalkan OpenAI dengan kapasiti daripada dua pusat data di negara ini.

Menurut Shan, kepentingan strategik pusat data kini berfungsi bukan sekadar tempat penyimpanan data semata-mata, apabila infrastruktur pengkomputeran semakin menjadi instrumen kuasa negara.

"Jika mengikut pandangan Harvard Business Review, infrastruktur hanya mewujudkan kelebihan yang berkekalan apabila disokong oleh bakat, data dan keupayaan organisasi.

“Pegangan Malaysia kira-kira 13 peratus daripada pemasangan, ujian dan pembungkusan semikonduktor global memberikan kelebihan dari segi kedekatan dengan industri berkaitan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia turut berdepan tekanan apabila bekalan elektrik muncul sebagai kekangan utama dalam ledakan infrastruktur AI global, susulan perkembangan pesat pusat data.

Ini berikutan pusat data menyumbang rekod 9.3 peratus daripada penggunaan elektrik di Semenanjung Malaysia pada minggu kedua Ogos 2026 dan angka itu boleh mencecah 31 peratus menjelang 2035.

Sementara itu, Inisiatif Tenaga MIT menyatakan bahawa pusat data di Amerika Syarikat menggunakan lebih empat peratus daripada penggunaan elektrik negara itu pada 2023 dan angka tersebut boleh menghampiri sembilan peratus menjelang 2030, yang menjadi peringatan agar aspek bekalan tenaga tidak dipandang ringan, katanya.

Shan berkata Malaysia menjangka menambah kira-kira sembilan gigawatt kapasiti penjanaan berasaskan gas menjelang 2032, manakala TNB telah memperuntukkan RM43 bilion untuk pemodenan grid, sambil menegaskan bahawa bekalan elektrik, air, bakat dan kepantasan kawal selia kini juga perlu bergerak seiring.

Pada hakikatnya, beliau berkata, kelebihan Malaysia dalam gelombang kedua ini bergantung kepada keupayaannya dalam memastikan momentum pelaburan diterjemahkan kepada kapasiti pengkomputeran yang kukuh, mampan dan mampu menjana nilai komersial.

Ini kerana dalam ekonomi AI, kapasiti pengkomputeran yang mencukupi akan lebih berupaya menarik pelaburan, manakala keupayaan menyediakan kemudahan strategik menentukan sama ada pelaburan itu kekal di negara ini, katanya.

-- BERNAMA