Anwar Dan Putin Setuju Mengenai Mekanisme Khas Untuk Percepat Pelaksanaan Perjanjian Antara Malaysia Dan Rusia
Daripada Saraswathi Muniappan
NEW DELHI, 12 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin telah mencadangkan penubuhan satu mekanisme khas antara Putrajaya dan Moscow bagi mempercepatkan pelaksanaan semua perjanjian yang dicapai antara kedua-dua negara.
Menurut nota yang diberikan kepada media Malaysia mengenai pertemuan itu, Putin bersetuju dengan cadangan tersebut.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan mengenai import minyak sawit Malaysia oleh Moscow serta usaha mempercepatkan penerbangan terus antara kedua-dua negara dalam pertemuan berkenaan, diadakan di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini pada Jumaat.
Dalam perbincangan selama 20 minit itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengulangi penghargaan beliau terhadap sokongan Rusia bagi kerjasama tenaga dengan Malaysia.
Menerusi satu hantaran di media sosial pagi ini, Perdana Menteri berkata pertemuan yang bermula kira-kira pada 11 malam itu berlangsung dalam suasana persahabatan serta memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan hubungan Malaysia-Rusia dan menetapkan beberapa langkah konkrit bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.
“Saya membangkitkan keperluan untuk mempercepat usaha merealisasikan penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia serta kemudahan perjalanan tanpa visa seperti yang telah dipersetujui sebelum ini bagi merancakkan pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” kata beliau.
Mengenai kerjasama tenaga bersama Malaysia, Anwar berkata kedua-dua negara mempunyai kekuatan dan kepakaran yang boleh digembleng untuk memperluas kerjasama dalam sektor strategik ini demi kepentingan bersama.
Untuk rekod, Petronas telah mengadakan perbincangan dengan rakan niaga Rusia (Rosneft) serta syarikat lain untuk memacu kerjasama dalam sektor tersebut.
Sementara itu, menurut agensi berita Rusia, TASS, memetik Putin sebagai berkata bahawa beliau menyifatkan pertumbuhan sebanyak 12.9 peratus dalam nilai dagangan antara Rusia dan Malaysia pada tahun lepas sebagai kadar yang kukuh.
"Tahun lepas, nilai dagangan antara negara kita berkembang sebanyak 12.9 peratus. Itu satu kadar yang baik," katanya seperti yang dipetik.
Presiden Rusia itu menegaskan bahawa Moscow amat mementingkan hubungan dengan Kuala Lumpur dalam bidang pendidikan, sains, teknologi, dan pelancongan.
"Dalam perbualan hari ini, kami berpeluang membincangkan isu-isu keutamaan mengenai kerjasama kita dalam semua bidang ini," kata Putin, menurut laporan TASS.
Anwar tiba di sini pada Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS adalah atas kapasitinya sebagai negara rakan kongsi BRICS sejak 1 Januari, 2025.
Pertemuan dengan Putin itu merupakan pertemuan dua hala pertama Perdana Menteri di sini.
Pada 2024, jumlah perdagangan ASEAN-Rusia mencecah US$18.1 bilion, manakala pelaburan langsung asing Rusia di ASEAN berjumlah RM367.90 juta (US$92.97 juta).
Bagi Malaysia, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar dalam kalangan negara Eropah pada 2025, dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.72 bilion (US$2.04 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan komponen, serta makanan diproses, manakala import utama terdiri daripada produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.
-- BERNAMA