AWL Komited Import Minyak Sawit Dari Malaysia, Teroka Peluang Eksport Barangan Pengguna Berjenama
Daripada Saraswathi Muniappan
NEW DELHI, 12 Sept (Bernama) -- AWL Agri Business Ltd komited untuk terus mendapatkan sebahagian besar bekalan minyak sawitnya dari Malaysia dan sedang meneroka peluang untuk memperluas eksport barangan pengguna berjenama ke pasaran negara.
AWL Agri Business Ltd adalah antara syarikat makanan dan barangan pengguna laris (FMCG) terbesar di India yang juga merupakan pengeksport minyak sawit terbesar negara itu.
Bercakap kepada Bernama selepas pertemuan bersemuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutifnya, Shrikant Kanhere, berkata perbincangan itu tertumpu kepada operasi syarikat tersebut di India dan membincangkan prospek bagi perdagangan minyak sawit.
"Kami mengimport hampir 1.5 juta tan minyak sawit setiap tahun, dan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah dari Malaysia," katanya sambil menambah import tersebut tiba melalui pelabuhan di pantai timur, barat dan selatan India, termasuk Haldia, Mundra, Kandla, Kakinada dan Mangalore.
AWL mengimport minyak sawit mentah (MSM) untuk ditapis di kilangnya di seluruh India, bagi membekalkannya kepada pengguna dan pengeluar makanan.
Syarikat itu juga memanfaatkan hasil sampingan daripada rantaian nilai kelapa sawit untuk menyokong perniagaan oleokimia yang berskala besar, dengan menghasilkan soap noodles (bahan untuk membuat sabun), gliserin dan stearin.
Apabila ditanya sama ada terdapat sebarang masalah mengenai kualiti MSM yang diimport oleh syarikat itu, Shrikant menyatakan tiada sebarang isu ketara dari segi kualiti atau prosedur bagi penghantaran yang diperoleh dari Malaysia.
India menggunakan anggaran 25 juta hingga 26 juta tan minyak makan setiap tahun, dengan minyak sawit kekal sebagai komponen utama dalam campuran tersebut selain minyak kacang soya dan minyak bunga matahari.
Walaupun India merupakan pengimport bersih minyak makan dan tidak menumpukan kepada eksport semula, AWL telah mula membangunkan saluran eksport bagi produk berjenama terpilih.
Jenama utama syarikat itu, Fortune, menyokong penghantaran barangan bungkusan pengguna yang berskala kecil namun semakin berkembang ke Malaysia dan pasaran lain.
"Eksport kebanyakannya terdiri daripada produk berjenama dan pada tahap sederhana, memandangkan permintaan domestik India menyumbang sebahagian besar daripada pengeluaran kami," katanya.
Eksport syarikat itu ke Malaysia ketika ini merangkumi beras basmati dan tepung gandum dalam kuantiti terhad, dan merancang untuk meningkatkan jumlahnya secara berperingkat.
Sementara itu, syarikat berkenaan mengesahkan bahawa ia tidak mempunyai usaha sama di Malaysia pada masa ini dan mengeksport secara terus.
Shrikant menegaskan pertemuannya dengan Anwar baru-baru ini bukanlah tujuan utamanya untuk mendapatkan kelulusan bagi pengembangan eksport, sebaliknya bagi memberi taklimat mengenai operasi syarikat itu serta prospek jangka panjang pasaran minyak makan India.
"Sebagai antara pelanggan minyak sawit terbesar Malaysia, kami ingin berkongsi pandangan kami dan memperkukuh kerjasama ini," katanya.
AWL Agri, yang beribu pejabat di Ahmedabad, Gujarat, negeri yang terletak di pantai barat India merupakan satu daripada empat syarikat yang mengadakan pertemuan perniagaan secara bersemuka dengan Anwar hari ini.
Anwar tiba di sini pada hari Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18. Ini merupakan lawatan kedua beliau ke India atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, dengan lawatan pertama dilakukan pada Ogos 2024.
-- BERNAMA