Segula Technologies Sasar Malaysia Sebagai Hab Kejuruteraan Asia Tenggara
Daripada Saraswathi Muniappan
NEW DELHI, 12 Sept (Bernama) -- Segula Technologies India Pvt Ltd meneruskan perancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab rantaunya bagi Asia Tenggara susulan perbincangan yang berhasil dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara India.
Ketua Pegawai Eksekutifnya merangkap Pengarah Urusan bagi India dan Asia Tenggara, Arun Rajendran berkata syarikat itu menyasarkan untuk memulakan operasi dalam tempoh tiga suku akan datang dengan memanfaatkan asas pembuatan Malaysia yang kukuh, infrastruktur sedia ada serta tenaga kerja mahir.
"Kami berbincang mengenai cara untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan Malaysia bagi sektor pembuatan canggih serta program reka bentuk dan pembangunan global," katanya.
Beliau menambah Segula juga sedang meneroka kerjasama dengan rakan kongsi tempatan, HICOM Engineering Sdn Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan dan pembuatan automotif yang berpusat di Selangor.
Bercakap kepada Bernama selepas bertemu dengan Anwar di sini, beliau berkata syarikat itu juga dalam perbincangan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta memohon sokongan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai bagi merealisasikan rancangan itu.
Arun memberitahu Segula menyasarkan untuk mewujudkan 50 jawatan sepenuh masa pada peringkat permulaan di Malaysia dengan latihan dalam bidang pembuatan termaju sebelum ditempatkan ke dalam program pelanggan global.
"Satu kerjasama dengan pelanggan kini hampir dimuktamadkan dan butiran lanjut dijangka diumumkan pada akhir suku semasa," katanya.
Segula Technologies India merupakan anak syarikat dan unit kejuruteraan India bagi kumpulan kejuruteraan global Perancis, Segula Technologies.
Unit India itu yang mempunyai alamat pejabat berdaftar dan korporat di Chennai, Tamil Nadu merupakan satu daripada empat syarikat yang mengadakan pertemuan perniagaan secara bersemuka dengan Anwar hari ini.
Anwar tiba di sini pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18.
Ini merupakan lawatan kedua beliau ke India sebagai Perdana Menteri selepas lawatan pertama dibuat pada Ogos 2024.
-- BERNAMA