SC Sedang Bangunkan Sukuk Prisma SDG Bagi Pelaksanaan, Daya Tahan Iklim
KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang membangunkan rangka kerja berasaskan Syariah baharu, Sukuk Prisma SDG bagi memudah cara penerbitan sukuk bukan ringgit yang menyokong pelaksanaan, daya tahan iklim dan keutamaan pembangunan mampan negara lain.
Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata ini berasaskan Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Bertanggungjawab dan Mampan (SRI) sedia ada yang diwujudkan oleh SC.
“Idea ini adalah untuk menumpukan penerbitan sukuk bukan ringgit yang dapat menterjemahkan keutamaan negara kepada tujuan jelas, berwibawa dan diiktiraf di peringkat global di bawah Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Faiz berkata Sukuk Prisma SDG itu akan diselaraskan dengan Panduan Maqasid al-Syariah dikeluarkan oleh SC selain mengguna pakai Taksonomi ASEAN dan prinsip bon hijau antarabangsa.
Beliau berkata memandangkan cadangan rangka kerja itu masih diusahakan, SC mengalu-alukan maklum balas mengenainya serta idea lain terhadap aspek pembiayaan penerimagunaan dan daya tahan iklim.
Pada masa sama, beliau menyifatkan keperluan terhadap pembiayaan mampan dan bertanggungjawab kini makin mendesak, sekali gus memerlukan pengawal selia, institusi pasaran serta pihak berkepentingan lain dapat menterjemahkan aspirasi berkaitan iklim kepada tindakan konkrit.
Bagi SC, keutamaannya adalah memudah cara pembiayaan yang diperlukan bagi membantu ekonomi menyesuaikan diri dengan serta mengurangkan kesan perubahan iklim.
Beliau bagaimanapun menekankan, aspek daya tahan ini perlu diterapkan dalam seluruh ekonomi melalui infrastruktur pasaran yang membolehkan pelaksanaannya serta rangka kerja yang lebih jelas menumpukan penerimagunaan, termasuk Pelan Adaptasi Negara bagi hasil berkaitan iklim dapat diukur dan disahkan.
“Tanpa kesemua asas ini, usaha meningkatkan lagi modal swasta ke arah daya tahan iklim akan terus dikekang kerana pelabur tidak akan memberi komitmen bagi apa yang mereka tidak boleh ukur atau tentukan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihak berkepentingan juga perlu mempertimbangkan bagaimana takrifan pulangan serta penilaian risiko, termasuk sama ada pertumbuhan ekonomi mengambil kira kesan luas daripada keputusan pelaburan dan pembangunan.
Struktur produk kewangan baharu juga, katanya, perlu diberi keutamaan bagi menyalurkan lebih banyak modal swasta kepada usaha memperkukuh daya tahan iklim.
Langkah itu termasuk sukuk berasaskan hasil dan daya tahan, pendekatan pembiayaan campuran serta struktur inovatif lain bagi meningkatkan kebolehlaksanaan pembiayaan pelaburan dalam usaha adaptasi iklim.
“Tugas kita adalah mengenal pasti penyelesaian yang boleh diperluas dan menarik untuk pelaburan selain dapat menghasilkan hasil daya tahan yang boleh dinilai,” katanya.
-- BERNAMA