BERITA TERKINI   Dua kanak-kanak maut selepas terjatuh dalam longkang di Taman Desa Karangan, Kulim - Polis | Bidaan nombor pendaftaran istimewa siri H sempena sambutan Hari Malaysia dibuka 16 hingga 20 Sept - KP JPJ | Malaysia sertai BRICS bukan untuk tentang blok lain, mahu sistem lebih adil - Anwar | Gempa bumi bermagnitud 6.2 melanda barat laut Pulau Morotai, Maluku Utara, tiada ancaman tsunami - Agensi Meteorologi Indonesia | Hari Malaysia: Pengunjung acara bunga api di Tebingan Kuching dinasihatkan pakai pelitup muka susulan fenomena jerebu - Fahmi | 

Petronas Carigali, Rakan Kongsi Meterai PSC Baharu Blok A-18-01 MTJDA

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Petronas Carigali Sdn Bhd (Petronas Carigali) iaitu PC JDA Ltd (PC JDA) bersama-sama PTTEP JDX Thailand Ltd Co dan PTTEP JDX Thailand (JDA) Ltd (secara kolektif dikenali sebagai PTTEP JDX) telah menerima kelulusan daripada kerajaan Malaysia dan Thailand bagi kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu untuk Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), memaklumkan bahawa pihak-pihak terbabit turut menandatangani Perjanjian Penjualan Gas (GSA) dengan Petronas dan PTT Public Company Ltd untuk menyokong kesinambungan bekalan gas asli daripada blok tersebut kepada kedua-dua negara.

Perjanjian ditandatangani pada 14 September, 2026 itu menandakan kemuncak kerjasama menyeluruh antara Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA), PC JDA dan PTTEP JDX untuk mewujudkan rangka kerja kontrak baharu.

Ad Banner

Ia menghubungkan pembangunan berterusan Blok A-18 sedia ada, melepasi tarikh tamat tempoh PSC semasa pada 20 April, 2029 dan menggabungkan kawasan penerokaan bersebelahan yang mempunyai potensi sumber tambahan di bawah PSC baharu tersebut.

Dengan tempoh 35 tahun bermula 1 Januari, 2026, PSC baharu untuk Blok A-18-01 merangkumi kawasan Blok A-18 sedia ada serta kawasan baharu tambahan, menyediakan platform bersepadu untuk mengekalkan pengeluaran, merealisasikan potensi sumber seterusnya dan mengoptimumkan pembangunan jangka panjang blok berkenaan.

Pengarah PC JDA Ainoor Abizzurin Abdullah berkata kelulusan PSC baharu itu membuka jalan kepada fasa pembangunan seterusnya bagi Blok A-18-01, sekali gus mencerminkan tekad yang kukuh serta kerjasama erat antara Malaysia dan Thailand.

Ad Banner
Ad Banner

"Sebagai sumber utama gas asli dan kondensat bagi kedua-dua negara, pencapaian penting ini memperkukuh komitmen bersama kami untuk memaksimumkan nilai melalui pengewangan sumber yang dipertingkatkan serta sinergi operasi," katanya.

Meliputi kawasan seluas 7,250 kilometer persegi, MTJDA terdiri daripada Blok A-18-01 dan B-17-01 dengan kapasiti pengeluaran gas asli gabungan kira-kira 700 juta kaki padu piawai sehari, dibahagikan secara sama rata antara Malaysia dan Thailand.

Blok A-18-01 merangkumi lapangan Cakerawala, Bumi, Suriya, Bulan dan South Bulan, Senja, East Bumi, Samudra dan medan gas Wira gas fields, termasuk kawasan terbuka.

Sementara itu, Blok B-17-01 terdiri daripada medan gas Muda, Tapi, Tanjung, Amarit, Jengka, Melati dan Andalas.

PSC baharu itu mengukuhkan komitmen Petronas Carigali untuk melabur dalam aset strategik dan mengejar pertumbuhan mampan untuk keselamatan tenaga serantau, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA