BERITA TERKINI   Malaysia sertai BRICS bukan untuk tentang blok lain, mahu sistem lebih adil - Anwar | Gempa bumi bermagnitud 6.2 melanda barat laut Pulau Morotai, Maluku Utara, tiada ancaman tsunami - Agensi Meteorologi Indonesia | Hari Malaysia: Pengunjung acara bunga api di Tebingan Kuching dinasihatkan pakai pelitup muka susulan fenomena jerebu - Fahmi | Pameran Hari Malaysia 2026 diperluas ke platform digital, sahut saranan PM jadikan MA63 sebagai naratif nasional - Fahmi | Orang ramai termasuk pempengaruh diingat tidak ambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar, serah kepada pihak berkuasa - Polis | 

PSC, GSA Kemuncak Lawatan Kerja Akmal Nasrullah Ke Thailand

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 14 Sept (Bernama) -- Lawatan kerja dua hari Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke Thailand yang berakhir hari ini mengukuhkan lagi kerjasama tenaga dua hala, khususnya menerusi pemeteraian perjanjian baharu bagi pembangunan Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

Akmal Nasrullah berkata pemeteraian kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dan perjanjian jual beli gas (GSA) menjadi tumpuan utama lawatan berkenaan, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam usaha berterusan kedua-dua negara membangunkan sumber bersama dan memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang.

Ad Banner

“Lawatan ini memang baik. Sudah tentu kemuncak lawatan adalah pemeteraian PSC dan GSA dengan Thailand bagi kita membangunkan kawasan bersama ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

PSC itu ditandatangani oleh Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA), PC JDA Ltd dan PTTEP JDX, manakala GSA melibatkan pihak sama bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PTT Public Co Ltd.

Selain itu, Akmal berkata perbincangannya dengan Menteri Tenaga Thailand Akanat Promphan menunjukkan kemajuan positif dalam memperkukuh kerjasama, khususnya dalam menjamin keselamatan tenaga berdepan landskap tenaga global yang semakin kompleks.

Ad Banner
Ad Banner

“Pemahaman mengenai keperluan untuk memperkukuh kerjasama, khususnya bagi benar-benar memastikan keselamatan tenaga kita, menunjukkan kemajuan yang sangat baik,” katanya.

Penyertaan Malaysia dalam Gastech 2026 turut menyediakan platform kepada negara untuk mengetengahkan komitmennya terhadap keselamatan tenaga serta daya tahan dalam menghadapi cabaran geopolitik dalam sektor berkenaan.

Akmal berkata perkembangan itu menunjukkan Malaysia kekal berdaya maju dan boleh dipercayai dalam sektor tenaga.

“Pada masa sama, dengan kekuatan itu, Malaysia kekal sebagai destinasi yang sangat menarik untuk pelaburan,” katanya.

Beliau berkata keupayaan Malaysia turut merangkumi usaha penyahkarbonan, khususnya pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), dengan negara telah mewujudkan asas perundangan dan institusi bagi memajukan bidang berkenaan.

Menurutnya, kepakaran huluan Malaysia yang kukuh, khususnya dalam sektor gas, memberikan kelebihan dalam membangunkan mekanisme penyahkarbonan lain termasuk CCS serta kerja menyahaktifkan telaga yang telah berusia.

Mengulas hasil keseluruhan lawatan berkenaan, Akmal berkata MTJDA merupakan contoh utama bagaimana negara jiran dapat bekerjasama dalam membangunkan sumber bersama dan menjana manfaat bersama.

“Ini antara contoh yang berjaya di dunia mengenai bagaimana negara jiran boleh bekerjasama, bukannya terus berdepan pertikaian. Sebaliknya, kita berjaya membangunkan sumber berkenaan dan memperoleh manfaat bersama,” katanya.

Selain itu, Akmal berkata syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia semakin mendapat perhatian, dengan beberapa pemain industri tempatan menyertai pameran Gastech 2026.

Katanya, syarikat OGSE Malaysia kini semakin berkeupayaan menyediakan penyelesaian teknikal dan kepakaran praktikal bagi menangani cabaran yang dihadapi industri, dan tidak lagi sekadar berperanan sebagai penyokong tradisional.

MTJDA mencerminkan hampir lima dekad kerjasama antara Malaysia dan Thailand, dengan perjanjian terbaharu itu memperkukuh kesinambungan operasi, keyakinan pelabur serta keselamatan tenaga jangka panjang kedua-dua negara.

-- BERNAMA