Malaysia Setuju Secara Prinsip Sokong Permohonan Kemudahan US$100 Juta Maldives – PM Anwar
Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
MALÉ (MALDIVES), 15 Sept (Bernama) -- Malaysia bersetuju secara prinsip untuk menyokong permohonan Maldives bagi kemudahan US$100 juta, yang disifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu bentuk pinjaman mudah yang akan dilaksanakan menerusi pihak berkuasa monetari kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata syarat serta mekanisme bagi kemudahan itu masih diperincikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Maldives Monetary Authority (MMA).
Beliau berkata pada dasarnya Malaysia tidak mempunyai masalah dengan permohonan itu dengan mengambil kira rekod pembayaran Maldives serta kerjasama antara kedua-dua negara selain jaminan kerajaan yang perlu disediakan.
“Ini sebenarnya jenis pinjaman mudah, tetapi dilakukan melalui BNM dan badan kewangan.
“Jadi soal syarat-syarat, prinsip itu masih diteliti oleh kedua-dua bank, walaupun pada dasarnya kita tidak ada masalah dengan rekod pembayaran mereka dan juga kerjasama dan jaminan kerajaan yang mesti ada,” kata beliau kepada media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi di negara itu.
Turut hadir ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.
Terdahulu pada sidang media bersama-sama Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu, Anwar berkata pemimpin Maldives itu telah membangkitkan perkara berkenaan kepada beliau dan turut menghantar surat berkaitan keperluan supaya BNM memberikan maklum balas terhadap permohonan MMA bagi kemudahan bernilai US$100 juta.
“Presiden telah menulis surat kepada saya mengenai keperluan untuk mendapatkan maklum balas daripada bank pusat kita, BNM berhubung permintaan Maldives terutama MMA untuk kemudahan bernilai US$100 juta ini.
“Kita pada dasarnya telah bersetuju untuk menyokong perkara ini walaupun kedua-dua bank pusat dan MMA perlu bekerjasama secepat mungkin berhubung mekanisme serta proses bagi memastikan perjanjian itu dapat dimuktamadkan dalam tempoh paling singkat.
“Perkara ini hanya boleh dilakukan berdasarkan kepercayaan dan persahabatan,” kata Perdana Menteri.
Anwar kini berada di Maldives bersempena dengan lawatan rasmi dua hari sejak semalam dan mengadakan pertemuan empat mata dan rundingan dua hala dengan Muizzu hari ini.
-- BERNAMA