BERITA TERKINI   MoU pertahanan dan hal ehwal Islam Malaysia-Maldives bakal perluas kerjasama keselamatan maritim, latihan, halal, wakaf dan haji – PM Anwar | Maldives, Malaysia tegaskan sokongan terhadap penentuan nasib sendiri dan kemerdekaan Palestin - Presiden Muizzu | Jana Wibawa: Muhyiddin bebas satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga kes pengubahan wang haram, berdepan tiga lagi tuduhan salah guna kedudukan | PM Anwar gesa penyelesaian segera isu penjagaan kesihatan jejas rakyat Maldives di Malaysia, selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI  | Malaysia cadang anjur Suruhanjaya Bersama Malaysia–Maldives di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun - PM Anwar | 

Belanjawan 2027: NCER Harap Peruntukan Lebih Seimbang, Strategik Bagi Pacu Wilayah Utara

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berharap menerima peruntukan lebih seimbang dan strategik di bawah Belanjawan 2027 bagi merancakkan pembangunan kawasan kurang maju selain melonjakkan pertumbuhan sektor melangkaui pembuatan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata belanjawan itu juga perlu memberi perhatian lebih ketara kepada kawasan kurang maju selain memastikan pembangunan kekal seimbang.

Mohamad Haris berkata harapan NCER itu juga berkait rapat dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 dan Belanjawan 2027 dilihat menjadi peluang untuk menyokong pembangunan seterusnya di wilayah berkenaan.

Ad Banner

“Adalah penting untuk mempunyai pendanaan yang adil, seimbang dan strategik bagi (pembangunan) kawasan-kawasan ini di wilayah utara,” katanya pada sesi taklimat media mengenai Pelan Pembangunan Strategik NCER di sini, hari ini.

Mohamad Haris juga menyifatkan aktiviti pembuatan terus menguasai rantau ini, malah dijangka terus mencatat pertumbuhan.

Pada masa sama, tumpuan lebih besar juga harus dihalakan kepada sektor-sektor lain, terutama pelancongan dan pertanian dalam Belanjawan 2027.

Ad Banner
Ad Banner

“Tumpuan ini dijangka dapat melengkapkan lagi asas pembuatan sedia ada dan memastikan pembangunan itu turut diperluaskan ke kawasan kurang maju itu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 yang menyasarkan untuk merealisasikan pelaburan kumulatif sebanyak RM470 bilion menjelang 2030 dengan 70 peratus daripadanya akan disumbangkan oleh sektor utama seperti elektrik dan elektronik, automotif, pelancongan bernilai tinggi dan pertanian moden.

Sasaran itu merupakan peningkatan sebanyak RM126.2 bilion daripada RM343.8 bilion di bawah pelan pembangunan NCER sebelum ini.

Pelan baharu itu turut menyasarkan untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Utara kepada paras RM369 bilion, mewujudkan 310,000 peluang pekerjaan berkualiti termasuk 45 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan pendapatan isi rumah median kepada RM7,500.

Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan pada 9 Oktober depan, merupakan Belanjawan MADANI kelima dan bertujuan meneruskan pencapaian yang diraih menerusi Kerangka Ekonomi MADANI serta mengangkat Malaysia bagi kemajuan di masa depan.

Sejajar kedudukan sebagai belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), belanjawan itu juga berpandukan tiga teras utama iaitu menaikkan siling dan lantai (ekonomi dan pendapatan) serta tatakelola baik.

-- BERNAMA