AirAsia Selesaikan Bayaran Balik US$240 Juta Ketika Tempoh COVID, Tidak Perlu Pembiayaan Jangka Pendek
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- AirAsia Group Bhd telah menyelesaikan pembayaran balik berjumlah US$240 juta (US$1=RM4.09) ketika tempoh COVID dalam tempoh dua tahun lepas dan tidak memerlukan pembiayaan jangka pendek, kata pengasas bersama dan penasihatnya, Tan Sri Tony Fernandes.
“Bulan ini, kami telah melunaskan US$240 juta. Jumlah itu (kira-kira) RM1 bilion. Sudah dibayar. Selesai.
“Kami membayar US$240 juta dalam tempoh dua tahun, dan kami terus membuat pembayaran,” katanya semasa taklimat media diadakan secara maya mengenai perkembangan perniagaan AirAsia hari ini.
Fernandes menafikan laporan bahawa AirAsia sedang merundingkan semula atau memohon peningkatan kemudahan kredit persendirian dengan pengurus pelaburan alternatif yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat iaitu Ares Management Corp.
“Tiada pinjaman tambahan daripada Ares. Tiada rundingan semula dengan Ares. Tiada peningkatan dalam kemudahan kredit itu, dan kami telah melunaskan lebih separuh daripadanya dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Fernandes berkata AirAsia tidak bercadang untuk menambah hutang kredit persendirian memandangkan kosnya yang agak tinggi.
“Saya tidak mahu mengambil lagi hutang kredit persendirian kerana ia mahal. Justeru, tiada rundingan semula, tiada peningkatan kredit persendirian dan tiada keperluan untuk pembiayaan jangka pendek,” katanya.
Fernandes berkata kumpulan itu secara konsisten memenuhi kewajipan pembiayaannya di semua pasaran operasi.
“Kami tidak pernah gagal membayar atau menstruktur semula sebarang pinjaman di mana-mana negara. AirAsia di Indonesia baru sahaja melunaskan pinjaman pejabatnya. Thailand berada dalam keadaan baik, begitu juga dengan Malaysia,” katanya.
Fernandes juga menolak kemungkinan Kumpulan AirAsia atau Capital A Bhd diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17), kedua-dua syarikat itu adalah mampan.
“Tiada risiko PN17 bagi Capital A mahupun AirAsia. Sentimen pasaran terhadap saham kami telah menjadi terlebih jualan (oversold), namun kami akan terus kekal beroperasi. Ia mampan,” katanya.
Sementara itu, Fernandes berkata AirAsia sedang berusaha untuk menggantikan pinjaman berkos tinggi yang diperoleh semasa pandemik COVID-19 dengan pembiayaan lebih murah.
“Di salah sebuah syarikat kami, kami membayar kadar faedah sebanyak 17 peratus. Pinjaman daripada pemberi pinjaman wang haram pun lebih murah.
"Syarikat kejuruteraan kami meminjam wang pada kadar 17 peratus, dan kini ia telah dibiayai semula pada kadar lapan peratus," katanya.
-- BERNAMA