TMK Chemical Ambil Alih 100 Peratus Pegangan Dalam CCM Pada Harga RM939.9 Juta
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- TMK Chemical Bhd (TMK) mengambil alih 100 peratus pegangan dalam Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) pada harga RM939.9 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan pertimbangan pembelian itu akan diselesaikan menerusi gabungan RM438.5 juta tunai dan penerbitan 262.5 juta saham TMK baharu pada harga terbitan RM1.91 sesaham.
Transaksi itu dijangka selesai menjelang suku pertama 2027.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan TMK Wong Kin Wah berkata pengambilalihan itu merupakan satu kemajuan ketara bagi TMK dan membentuk bahagian penting dalam strategi transformasi syarikat tersebut.
“CCM telah berubah menjadi lebih besar hari ini berbanding ketika diswastakan dan dinyahsenarai pada 2021.
“Sejak itu, Batu Kawan telah menggabungkan operasi kimianya di bawah CCM, sekali gus meningkatkan asas pembuatannya dan memperluaskan portfolio produknya.
“Dengan pengalaman empat dekad dalam industri kimia bukan organik, TML memahami perniagaan ini dengan baik dan melihat wujudnya kesesuaian strategik yang kukuh antara keupayaan CCM dengan apa yang telah kami bina selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Wong berkata gabungan itu akan membolehkan kumpulan tersebut mewujudkan perniagaan kimia yang lebih kukuh dan bersepadu dengan skala serta jangkauan yang lebih meluas.
Selain itu, menurut TMK, pengambilalihan itu menandakan peningkatan skala yang ketara bagi TMK dan anak syarikatnya (TMK Group).
“Kapasiti pengeluaran CCM yang besar dengan sembilan kemudahan operasi di seluruh Semenanjung Malaysia memberi nilai tambah kepada platform kimia bukan organik hujung ke hujung sedia ada TMK Group,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah TMK lagi, secara strategiknya, pengambilalihan itu menyatukan keupayaan TMK Group dalam perusahaan, penyimpanan dan logistik kimia dengan pangkalan pembuatan TMK yang besar dan portfolio produk yang lebih meluas.
“Gabungan ini dijangka menjana ekonomi pada skala dan kecekapan operasi menerusi perolehan serta pembelian bahan mentah yang dioptimumkan, kecekapan logistik dan pengedaran serta penggunaan aset yang lebih baik," katanya.
Dalam pada itu, CCM dan anak syarikat serta syarikat bersekutunya (CCM Group) adalah pengeluar klor-alkali terbesar di Malaysia, selain pengeluar dan pembekal utama bahan kimia klor-alkali, derivatif sulfur serta bahan kimia polimer.
Produknya digunakan secara meluas dalam pelbagai industri, termasuk nadir bumi, rawatan air, sarung tangan getah, oleokimia, minyak dan petrokimia, elektronik dan tekstil.
-- BERNAMA