BERITA TERKINI   RCI TH: Bekas timbalan pengurus besar projek pembinaan TH Properties didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan subahat pecah amanah | 

Kenanga Tingkat Unjuran Pertumbuhan Eksport 2026 Kepada 28.5 Peratus, Jangka Cecah RM2 Trilion

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd menaikkan unjuran pertumbuhan eksport Malaysia 2026 kepada 28.5 peratus (2025: 6.6 peratus) daripada 19.0 peratus sebelum ini, dengan nilai eksport dijangka melepasi paras RM2.0 trilion tahun ini.

Pertumbuhan setakat tahun ini meningkat kepada 31.2 peratus tahun ke tahun (Januari-Julai: 29.2 peratus), mencerminkan permintaan luaran yang terus kukuh hingga suku ketiga 2026.

"Unjuran menaik ini disokong oleh permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), pelaburan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pelancaran produk baharu, meskipun kami menjangkakan pertumbuhan eksport akan perlahan pada separuh kedua tahun ini.

Ad Banner

"Hal ini dipengaruhi kesan asas perbandingan yang menggalakkan semakin berkurangan,” kata Kenanga dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, bank itu berkata risiko penurunan termasuk ketidaktentuan baharu berhubung dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS), pertumbuhan global yang berpotensi lebih perlahan susulan harga tenaga yang lebih tinggi dan persekitaran monetari yang ketat, selain ketegangan geopolitik yang berterusan.

Risiko berkenaan turut merangkumi kemungkinan kemerosotan mendadak permintaan elektronik selepas berakhirnya kitaran pelaburan berkaitan AI serta turun naik harga komoditi yang berterusan.

Ad Banner

Bagi prospek pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, Kenanga mengekalkan unjuran pertumbuhan 2026 pada 5.3 peratus (2025: 5.2 peratus).

“Perdagangan luar yang kukuh dan aktiviti berkaitan perdagangan yang terus berkembang dijangka menyokong kegiatan ekonomi domestik serta mengimbangi tekanan luaran global yang masih berlarutan.

“Momentum yang berterusan berpotensi mendorong prestasi pada separuh kedua 2026 serta pertumbuhan KDNK setahun penuh melepasi unjuran,” katanya.

Sementara itu, Apex Securities Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport 2026 pada 26.2 peratus tahun ke tahun (2025: 6.6 peratus).

Firma itu turut mengekalkan pandangan positif terhadap sektor E&E, disokong pertumbuhan struktur dalam AI, kenderaan elektrik serta segmen industri berkaitan yang lain untuk tempoh mendatang.

Eksport berkaitan tenaga dijangka memberikan sokongan tambahan memandangkan Malaysia kekal mendapat manfaat daripada potensi pengalihan perdagangan susulan konflik di Asia Barat.

Pertumbuhan kukuh import barangan perantaraan juga lazimnya menunjukkan kedudukan tempahan yang baik serta kekuatan aktiviti perindustrian dan eksport dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, eksport berkemungkinan berdepan tekanan dalam baki bulan 2026 berikutan asas perbandingan yang tinggi dalam tempoh sama tahun lepas, katanya.

Mengenai risiko penurunan, Apex berkata ia termasuk peningkatan semula ketegangan di Asia Barat yang boleh mengganggu aliran perdagangan global, selain ketidaktentuan berterusan berhubung dasar perdagangan AS.

Malaysia juga kekal berisiko dikenakan tarif yang lebih tinggi, dengan siasatan Seksyen 301 AS berhubung lebihan kapasiti dan pengeluaran struktur masih dijalankan, katanya.

-- BERNAMA