Fasa Integrasi ASEAN Seterusnya Disaran Berdasarkan Prinsip NIMP 2030 - Tengku Zafrul
Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 21 Sept (Bernama) -- Usaha integrasi ekonomi ASEAN seterusnya boleh dirangka berdasarkan prinsip-prinsip yang ditekankan oleh Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 Malaysia.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata NIMP 2030 yang dilancarkan pada 2023, merupakan tonggak perindustrian penting daripada kerangka Ekonomi MADANI yang lebih meluas dan bertujuan melonjakkan kompleksiti ekonomi, mempercepat penerimagunaan teknologi, dorongan ke arah sifar bersih selain melindungi keterjaminan dan keterangkuman ekonomi.
Beliau berkata ini juga sejajar dengan kedudukan strategik ASEAN di antara Timur dan Barat serta merentasi beberapa laluan perdagangan paling penting di dunia.
“Kita mempunyai pasaran pengguna yang besar, sumber yang banyak, ekonomi digital yang berkembang dan kumpulan bakat yang pelbagai.
“ASEAN menerima pelaburan langsung asing sebanyak US$226 bilion (US$1=RM4.08) pada 2024, hampir dua kali daripada tahap yang dicatatkan pada 2015. Persoalan utamanya, apakah (limpahan) manfaat pelaburan itu kepada rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Beyond Profit: Closing the Wealth Gap as ASEAN and China’s Greatest Competitive Advantage” di Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan China-ASEAN 2026, hari ini.
Tengku Zafrul juga menekankan bahawa pembangunan pembuatan dan perindustrian kekal penting kepada rantau ini berikutan impaknya yang melangkaui pembekal, logistik, perkhidmatan profesional, teknologi, tenaga dan kemahiran.
“Jika dilaksanakan dengan tepat, satu-satu pelaburan itu memberi impak dari segi pengetahuan, menjadikan firma lebih kukuh serta pekerja yang lebih mahir. Prinsip sama ini sepatutnya menjadi panduan kepada fasa pembangunan ASEAN yang seterusnya,” katanya.
Beliau berkata ASEAN dan China juga berpegang kepada tradisi lama yang menganggap kemakmuran bersama sebagai syarat perniagaan yang baik.
Pada masa sama, iktibar bagi ASEAN dan China dalam landskap global semasa adalah usaha mengurangkan jurang kekayaan itu memerlukan dasar sama bagi membina pertumbuhan sebelumnya.
Menurutnya, kedua-dua ekonomi mempunyai kekuatan, tahap pembangunan berbeza dan kumpulan bakat berbeza.
Berikutan itu, integrasi serantau sewajarnya membolehkan kekuatan itu dapat saling memperkasa dan memberi syarikat dari segi pasaran lebih besar dan ruang untuk berkembang.
“Ekonomi serantau yang lebih kukuh turut mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat dan peniaga membina kekayaan masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA