BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | DUN Melaka dibubar berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16 - Ab Rauf | 

Yes Group, Malacca Securities Meterai Perjanjian Taja Jamin Bagi IPO Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Yes Group Management Bhd telah memeterai perjanjian penajajaminan dengan Malacca Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraian syarikat berkenaan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Syarikat itu mengendalikan jenama “Yes Travel” selain pakar dalam segmen Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) yang menawarkan penyelesaian perjalanan insentif khusus mengikut keperluan pelanggan serta perkhidmatan perancangan dan pengurusan acara.

Langkah IPO itu merangkumi tawaran awam sebanyak 91.87 juta saham baharu dan jualan sebanyak 45.93 juta saham sedia ada yang menjadikan keseluruhan tawaran IPO sebanyak 137.80 juta saham.

Ad Banner

“Daripada jumlah terbitan saham, sebanyak 26.50 juta saham atau 5.00 peratus daripada modal saham terbitan yang dipertingkatkan adalah diperuntukkan kepada orang awam. Separuh daripada jumlah itu pula diperuntukkan kepada pelabur awam dan separuh lagi kepada pelabur awam Bumiputera.

“Sejumlah 5.30 juta saham (1.00 peratus) pula diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta penyumbang yang layak kepada kumpulan menerusi peruntukan borang merah jambu manakala 60.07 juta saham (11.33 peratus) untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” maklum syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut syarikat itu, sejumlah 6.18 juta saham atau 1.17 peratus daripada modal saham terbitannya yang dipertingkatkan, akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI manakala 39.75 juta saham atau 7.50 peratus adalah untuk pelabur terpilih.

Ad Banner

Di bawah pengaturan penajajaminan itu, Yes Group memaklumkan Malacca Securities akan menaja jamin sebanyak 31.80 juta saham baharu merangkumi 26.50 juta saham baharu yang dibuka untuk permohonan orang awam Malaysia dan 5.30 juta saham baharu yang diperuntukkan melalui borang merah jambu.

Pengarah Urusan Yes Group Angela Mak Shau Kwan berkata syarikat itu kekal fokus bagi memperkukuh kedudukan dalam bidang perjalanan insentif korporat dan penyelesaian MICE selain usaha membangunkan keupayaan bagi menyokong pengembangan perniagaan untuk tempoh jangka panjang.

Malacca Securities berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA