BERITA TERKINI   ETA Group raih kontrak bernilai RM66.69 juta bagi tiga projek pembinaan di Kapar, Klang | Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | DUN Melaka dibubar berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16 - Ab Rauf | 

Sesi Padanan WAIC Connect Pemacu Kolaborasi Kecerdasan Buatan Malaysia-China

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Sesi padanan industri inovasi WAIC Connect yang berlangsung awal bulan ini telah menghimpunkan pihak berkepentingan kerajaan dan industri Malaysia dengan syarikat kecerdasan buatan (AI) dari China bagi meneroka potensi kerjasama berdasarkan keperluan perniagaan dan sektor tempatan.

Sesi padanan tersebut diadakan sebagai sebahagian daripada acara WAIC Connect Malaysia, berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 hingga 8 September dengan sokongan Kedutaan China di Malaysia dan tajaan Huawei, bertemakan "Berinovasi untuk Malaysia yang Hijau dan Pintar."

Ad Banner

Naib Presiden DLG Exhibition and Events Co Ltd merangkap Pengurus Besar Shanghai DLG WAIC Gravitation Co Ltd, Joes Qiu berkata Malaysia memegang kedudukan penting dalam usaha WAIC Connect untuk memperluas hubungan antara China dengan ekosistem AI Asia Tenggara.

"Malaysia merupakan hab penting dan sangat dinamik dalam landskap strategik global WAIC Connect," katanya dalam ucapan dirakam awal, disiarkan sebelum sesi padanan itu bermula.

Qiu berkata WAIC Connect adalah platform utama di bawah Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC), memberi tumpuan kepada pemadanan industri dan hubungan perniagaan dengan menghubungkan penyedia teknologi kepada permintaan industri di pasaran berbeza.

Ad Banner

"Kami berhasrat membawa teknologi terkini, sumber industri dan senario aplikasi dihimpunkan oleh WAIC ke pasaran global, sekali gus mengubah pertukaran pameran jangka pendek kepada hubungan industri global yang mampan dari China ke pasaran luar negara," katanya.

Wakil-wakil dari Malaysia membentangkan cabaran perniagaan dan keperluan perolehan merentas beberapa sektor termasuk kerajaan, kewangan dan pendidikan, bagi memberikan gambaran menyeluruh kepada syarikat AI China mengenai bidang berpotensi untuk aplikasi teknologi mereka.

Ketua Pelaburan Digital Domestik Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Danesh Jothiprahasam berkata Malaysia menyasarkan peralihan daripada sekadar destinasi infrastruktur digital kepada hab serantau bagi aplikasi dan inovasi AI dengan tumpuan khusus terhadap perkhidmatan awam, penjagaan kesihatan, pengangkutan serta pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Salah satu mandat utama kami sejak 30 tahun lepas ialah membawa masuk syarikat untuk bertapak di Malaysia. Huawei merupakan salah satu daripadanya pada masa lalu.

“Kini, kami berharap dapat membawa bukan sahaja syarikat gergasi sedia ada, malah syarikat gergasi baharu dari wilayah Greater China atau bahagian lain dunia ke Malaysia, kerana inilah masa yang paling tepat,” katanya semasa pembentangan beliau di persidangan tersebut.

Ketua Pembangunan Perniagaan dan E-dagang bagi Inisiatif Strategik Digital PFS di Hong Leong Bank Bhd yang juga salah seorang pembentang, Albert Tho menekankan kepentingan proses perniagaan, tadbir urus data, pematuhan dan kawalan risiko bagi memastikan aplikasi kecerdasan buatan (AI) bersifat mampan, boleh ditingkatkan skalanya serta memberikan nilai perniagaan yang boleh diukur.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan menggesa kerjasama yang lebih erat antara universiti, industri dan organisasi penyelidikan bagi menyelaraskan pembangunan bakat AI, kurikulum serta penyelidikan dengan keperluan sebenar industri sehingga tahun 2030 dan tahun-tahun seterusnya.

Syarikat AI terpilih dari China termasuk ULearning, AllCam, Digital Hail, Epoint, iFLYTEK dan Farben, membentangkan teknologi serta kajian kes masing-masing bagi menjawab keperluan diketengahkan oleh pihak berkepentingan dari Malaysia.

Sesi tersebut dibahagikan kepada empat zon khusus merangkumi sektor pendidikan, kewangan, kerajaan dan rangkaian terbuka, dengan menghimpunkan hampir 100 pelanggan serta rakan kongsi dari China dan Malaysia untuk sesi perbincangan secara bersemuka.

Para peserta meneroka potensi projek dan kerjasama komersial menerusi perbincangan yang tertumpu kepada keperluan industri serta pendekatan penyelesaian khusus dalam bidang seperti bandar pintar, keselamatan awam, pembangunan bakat, kampus pintar, pencegahan penipuan kewangan, penjagaan kesihatan pintar dan senario utama lain.

-- BERNAMA