BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada 4.55 petang -- MetMalaysia | DUN Melaka dibubar berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16 - Ab Rauf | 

Sistem Kewangan Singapura Kekal Berdaya Tahan, Miliki Penampan Dalam Ketidaktentuan Global - MAS

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 22 Sept (Bernama) -- Keadaan kewangan Singapura secara keseluruhannya kekal berdaya tahan meskipun persekitaran global tidak menentu, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Prestasi itu disokong oleh kos pinjaman yang lebih rendah, jurang kadar faedah kredit yang semakin mengecil dan peningkatan pertumbuhan kredit perbankan.

Ad Banner

MAS menyatakan kualiti kredit perbankan secara keseluruhannya kekal baik yang disokong oleh kedudukan kewangan korporat dan isi rumah yang kukuh.

Jelasnya, syarikat, isi rumah dan institusi kewangan di Singapura mempunyai penampan yang mencukupi untuk menyerap kesan kemerosotan terhadap pendapatan, hasil dan kos pembiayaan, namun perlu terus kekal berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan makroekonomi.

“Kebanyakan syarikat dan isi rumah mempunyai lembaran imbangan yang kukuh dan dijangka kekal berdaya tahan dalam keadaan tekanan.

Ad Banner

"Bagaimanapun, sesetengah syarikat yang mempunyai nisbah hutang yang tinggi atau penampan mudah tunai yang lebih kecil berpotensi berdepan tekanan,” menurut MAS dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan 2026 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut pengawal selia kewangan itu, syarikat di Singapura secara umumnya mengekalkan atau menambah baik kedudukan kewangan mereka sepanjang tahun lepas didorong oleh keuntungan yang stabil dan kos pinjaman yang lebih rendah.

Menurut laporan itu lagi, sektor perbankan terus mendapat manfaat daripada penampan modal dan mudah tunai yang kukuh berserta perlindungan peruntukan yang aktif.

Bagi sektor bukan bank pula, syarikat insurans kekal mempunyai modal yang mencukupi manakala dana pelaburan menguruskan risiko mudah tunai dengan baik, tambahnya.

MAS menyatakan sektor isi rumah kekal mempunyai daya tahan, didorong oleh pertumbuhan aset kewangan yang mengatasi liabiliti.

“Keupayaan isi rumah untuk membayar perkhidmatan hutang bertambah baik di tengah-tengah pertumbuhan pendapatan yang stabil dan kadar pinjaman perumahan yang menurun sepanjang tahun lepas,” jelasnya.

Menurutnya, risiko terhadap kestabilan kewangan global meningkat berikutan jangkaan keadaan kewangan yang diperketatkan bagi tempoh akan datang.

“Ekonomi yang mendapat manfaat daripada pelaburan dan eksport berkaitan kecerdasan buatan (AI) berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyerap kos pinjaman yang lebih tinggi, namun pada masa yang sama lebih terdedah kepada kemerosotan dalam kitaran AI.

“Ekonomi yang mempunyai hubungan lebih lemah dengan AI serta defisit fiskal atau akaun semasa yang lebih besar berpotensi lebih terjejas akibat keadaan kewangan global yang lebih ketat dengan aliran keluar portfolio dan susut nilai mata wang meningkatkan risiko,” tambahnya.

-- BERNAMA