OGX Group Ceburi Bidang Tenaga Boleh Baharu, Sasar Pasaran Pusat Data
KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- OGX Group Bhd telah menceburi industri tenaga boleh baharu (RE), menyasarkan peluang dalam pasaran pusat data Malaysia yang sedang berkembang menerusi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia penyelesaian infrastruktur teknologi maklumat itu memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, OGX Green Tech Sdn Bhd akan menerajui perniagaan baharu berkenaan.
Zhejiang Hyxi Technology Co Ltd (HYXI), syarikat pakar penyimpanan tenaga dan inverter, berpangkalan di China serta mempunyai kehadiran di seluruh Eropah telah melantik OGX Green Tech sebagai pengedar sah untuk memasarkan, mengedar dan menjual produk HYXI di Malaysia.
“Segmen perniagaan baharu ini akan menumpukan kepada pengedaran BESS, inverter dan bateri, bagi memenuhi keperluan pelanggan kediaman serta pelanggan komersial dan perindustrian (C&I) di Malaysia.
“Selain itu, OGX Green Tech juga berhasrat untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian penyimpanan tenaga dalam industri pusat data Malaysia yang berkembang pesat, di mana pengendali pusat data kini semakin mencari alternatif lebih bersih dan berdaya tahan berbanding penjana sandaran diesel konvensional bagi menyokong lonjakan dalam kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan beban kerja intensif data,” katanya.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan OGX, Tan Suan Loong berkata model berteraskan jenama kumpulan itu telah memacu perniagaannya, dan pengembangan ke dalam sektor RE merupakan langkah semula jadi dalam strategi tersebut.
“Pelantikan oleh HYXI ini menggabungkan kepakaran teknologi dan produk mereka dalam penyelesaian penyimpanan tenaga dengan akses pasaran tempatan, keupayaan pengedaran serta pengalaman integrasi sistem yang dimiliki oleh OGX.
“Gabungan ini menyediakan platform kukuh untuk kami mewujudkan dan mengembangkan kehadiran kami dalam segmen penyimpanan tenaga sebagai satu cabang pertumbuhan baharu yang saling melengkapi bagi OGX,” katanya.
Tan berkata peralihan ke arah penyelesaian tenaga lebih bersih dan berdaya tahan mewujudkan peluang yang semakin meningkat merentas segmen kediaman, C&I dan pusat data.
“Melalui OGX Green Tech dan pelantikan oleh HYXI, kami berada pada kedudukan baik untuk memenuhi permintaan ini dengan menggabungkan penyelesaian penyimpanan tenaga yang terbukti berkesan bersama hubungan pelanggan sedia ada, jangkauan pasaran serta keupayaan integrasi sistem OGX.
“Kami percaya perniagaan baharu ini mampu meluaskan asas hasil kami dan meletakkan OGX pada kedudukan strategik untuk turut serta dalam pertumbuhan jangka panjang peralihan tenaga Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA