BERITA TERKINI   Aichi-Nagoya 2026: Atlet karate C.Shahmalarani sumbang emas ketiga negara dalam acara kumite bawah 50kg wanita | Aichi-Nagoya 2026: Atlet e-sukan Taj Izrin Aiman Taj Madira raih emas kedua negara dalam perlumbaan Gran Turismo 7 | Malaysia dan China berada pada kedudukan baik untuk bersama-sama memacu sektor pembuatan, AI, robotik, automasi industri, EV, semikonduktor dan teknologi digital - PM Anwar  | 

REHDA Gesa Perkasa SJKP, Lanjut Pelepasan Duti Setem Dalam Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Memperkasa Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) serta memperkenalkan struktur pembiayaan yang lebih fleksibel antara cadangan utama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bagi Belanjawan 2027.

Persatuan itu turut menggesa kerajaan melanjutkan pelepasan duti setem sedia ada serta memperkenalkan kempen Pemilikan Rumah (HOC) khas bagi unit kediaman siap dibina yang masih belum terjual.

Presiden REHDA Datuk Zaini Yusoff berkata cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kewangan itu bertujuan menangani kekangan yang dihadapi pembeli rumah, selain peningkatan kos penyediaan perumahan.

Ad Banner

Beliau berkata antara cadangan utama ialah memperkasa SJKP bagi meluaskan akses kepada pembiayaan, khususnya untuk golongan muda Malaysia, individu bekerja sendiri serta mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau konvensional.

“Akses kepada pembiayaan perumahan kekal sebagai halangan utama kepada pemilikan rumah, khususnya bagi golongan muda Malaysia, individu bekerja sendiri dan pembeli berpendapatan rendah atau tidak tetap,” katanya pada taklimat media mengenai Tinjauan Industri Hartanah REHDA bagi separuh pertama 2026, di sini hari ini.

REHDA turut mencadangkan pembiayaan perumahan atau mekanisme jaminan yang disokong kerajaan, serta struktur pembiayaan berperingkat yang membolehkan bayaran balik lebih rendah pada tahun-tahun awal pemilikan rumah.

Ad Banner

Menurut Zaini, langkah itu dapat membantu bakal pembeli yang mempunyai kemampuan untuk membayar balik ansuran bulanan perumahan tetapi berdepan kesukaran menyediakan kos pendahuluan bagi pembelian rumah.

Katanya, kebanyakan bakal pembeli, khususnya golongan B40, mempunyai kemampuan untuk membayar balik ansuran bulanan perumahan tetapi menghadapi kesukaran mengumpul simpanan yang mencukupi bagi menampung duti setem dan kos awal pemerolehan lain.

“Biasanya, menyediakan 10 peratus itu sukar bagi mereka. Jadi, kami meminta kerajaan membantu dalam perkara ini,” katanya.

Mengenai duti setem, Zaini berkata REHDA mencadangkan supaya pelepasan sedia ada dilanjutkan kepada hartanah kediaman berharga lebih RM500,000 hingga RM1 juta, dengan mekanisme pelepasan berperingkat yang bersesuaian bagi pembelian yang dibuat antara Januari dan Disember 2027.

Beliau berkata REHDA turut mencadangkan langkah menangani unit kediaman siap dibina yang masih belum terjual, termasuk HOC khas bagi hartanah yang telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Banyak unit siap dibina masih belum terjual, jadi kami mahu menangani unit-unit ini terlebih dahulu,” katanya.

Tinjauan REHDA mendapati 59 peratus daripada 181 responden mempunyai unit kediaman siap dibina yang masih belum terjual setakat 30 Jun. Antara sebab yang dikenal pasti ialah permohonan pembiayaan akhir yang ditolak, harga hartanah yang tinggi serta unit Bumiputera yang belum dilepaskan.

Menurut Zaini, HOC bersasar dapat meningkatkan mudah tunai pasaran dan membolehkan modal yang terikat dalam hartanah belum terjual disalurkan semula kepada pembangunan baharu.

REHDA turut menggesa perancangan perumahan berasaskan data bagi memastikan bekalan perumahan pada masa depan lebih sejajar dengan permintaan sebenar, sekali gus mengelakkan ketidakpadanan antara bekalan dengan permintaan.

Zaini menegaskan bahawa pengurangan kos penyediaan perumahan turut menjadi keutamaan berikutan peningkatan kos infrastruktur, utiliti, berkanun, kawal selia dan pematuhan yang ditanggung pemaju.

“Kemampuan memiliki rumah bukan sahaja dipengaruhi oleh akses pembeli kepada pembiayaan, tetapi juga kos membangunkan dan menyediakan rumah.

“Kami meminta kerajaan meneliti semula kos ini. Apabila kos tersebut dikurangkan, pemaju juga boleh menurunkan harga dengan ketara,” katanya.

REHDA turut menggesa penyediaan insentif fiskal bagi mempercepat produktiviti pembinaan, penggunaan teknologi dan pendigitalan, termasuk insentif untuk pelaburan dalam Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), Sistem Binaan Berindustri (IBS), kecerdasan buatan, automasi, perisian dan peralatan.

Cadangan itu termasuk elaun modal dipercepatkan dan elaun cukai pelaburan bagi perbelanjaan yang layak dalam bidang berkenaan.

Persatuan itu turut menggesa langkah untuk mempercepat pembangunan perumahan hijau dan mampan sebagai sebahagian daripada cadangan Belanjawan 2027.

-- BERNAMA