YTL AI Labs, Nvidia Lancar Set Data Terbuka Cerminkan Kepelbagaian Penduduk Malaysia
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- YTL AI Labs Sdn Bhd, cabang penyelesaian kecerdasan buatan (AI) YTL Power International Bhd di bawah YTL Group, hari ini melancarkan Nemotron-Personas-Malaysia, set data terbuka yang dibangunkan bersama NVIDIA bagi mencerminkan kepelbagaian penduduk Malaysia melalui 1.35 juta profil sintetik.
Dalam satu kenyataan, YTL AI Labs berkata profil berkenaan dijana daripada 150,000 rekod asas menggunakan taburan yang berasaskan statistik demografi rasmi Malaysia.
Katanya, set data itu boleh digunakan secara percuma bagi tujuan komersial di bawah lesen yang membenarkan penggunaan secara meluas, sekali gus menyediakan asas kepada pembangun, penyelidik dan perusahaan untuk membangunkan sistem AI yang mencerminkan bahasa, budaya, perbezaan wilayah dan kehidupan pekerjaan di Malaysia.
Set data itu juga merupakan yang pertama dalam koleksi Nemotron-Personas NVIDIA yang mengutamakan bahasa Melayu.
“Profil berkenaan ialah gambaran statistik realistik sesuatu populasi yang dijana untuk mencerminkan demografi sebenar Malaysia mengikut wilayah.
“Tiada data peribadi terkandung dalam set data ini dan tiada individu boleh dikenal pasti menerusinya,” kata YTL AI Labs.
Menurutnya, Nemotron-Personas-Malaysia merupakan tambahan terbaharu kepada koleksi Nemotron-Personas NVIDIA yang semakin berkembang, susulan pembangunan set data untuk Amerika Syarikat, Jepun, India, Singapura, Brazil, Perancis, Korea Selatan, El Salvador, Vietnam dan Belgium.
Kaedah yang digunakan merangkumi kepelbagaian etnik dan wilayah Malaysia yang kompleks sehingga ke peringkat daerah, dengan mewakili kumpulan etnik utama seperti Melayu, Cina dan India.
Ia turut termasuk kumpulan etnik seperti Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau, serta kategori Bumiputera lain mengikut wilayah di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, kata YTL AI Labs.
Sebanyak 150,000 rekod asas yang dikembangkan menjadi 1.35 juta profil terperinci itu merangkumi 39 bidang, termasuk ciri demografi seperti umur, jantina dan pekerjaan, serta ciri personaliti berdasarkan model lima faktor OCEAN, iaitu kerangka standard dalam bidang psikologi personaliti.
YTL AI Labs berkata set data itu bukan sahaja merangkumi ciri demografi, malah turut mengenal pasti perbezaan dari segi personaliti dan tingkah laku.
-- BERNAMA