Malaysia Ketengah Peranan Peneraju Kemahiran, Kecemerlangan Teknikal Di Persidangan Worldskills Shanghai
Daripada Harlina Samson
SHANGHAI, 23 Sept (Bernama) -- Malaysia menekankan peranannya sebagai peneraju serantau dalam pembangunan kemahiran dan kesiapsiagaan tenaga kerja hijau pada Persidangan WorldSkills Shanghai 2026, memperkukuh komitmen berterusannya untuk memperkasakan kecemerlangan teknikal dan vokasional.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetengahkan peranan yang telah diamanahkan kepada Malaysia dalam menerajui agenda pekerjaan hijau serantau susulan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN serta tiga Negara Rakan Dialog di Bangkok baru-baru ini.
“Malaysia telah diamanahkan untuk menerajui Agenda Pekerjaan Hijau Serantau bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang akan membantu mempersiapkan tenaga kerja kita ke arah ekonomi yang lebih hijau.
“Kami juga menerajui pengiktirafan sijil teknikal rentas sempadan dan melaksanakan projek rintis Pasport Kemahiran Digital ASEAN yang menghubungkan rekod latihan yang diperakui di seluruh rantau ini,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan khas pada sesi pleno pembukaan persidangan dan ekspo itu di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, merujuk kepada Strategi Semikonduktor Nasional Malaysia menetapkan sasaran pelaburan lebih RM500 bilion menjelang 2030 selain menyasarkan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia berkemahiran tinggi.
“Pelaburan masuk ke Malaysia atas pelbagai sebab. Namun, kita semua tahu bahawa pelaburan berkembang terutamanya dalam bidang yang mempunyai tenaga kerja berkemahiran mencukupi untuk menyokong pertumbuhannya,” kata beliau.
Kira-kira 1,400 golongan muda berkemahiran dari lebih 65 negara dan wilayah berhimpun di bandar raya terbesar di China untuk bersaing dalam 64 kategori kemahiran. Malaysia menghantar 22 peserta muda yang mewakili 21 bidang kemahiran.
Perdana Menteri tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja selama tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.
Pada sebelah petang, Perdana Menteri dan delegasi akan menaiki kereta api berkelajuan tinggi ke Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang untuk meneruskan lawatan tersebut.
Setibanya di Hangzhou, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan syarikat gergasi teknologi AgiBot, Huawei dan Alibaba Group selain syarikat automotif Geely serta syarikat multinasional teknologi dan peralatan telekomunikasi China, ZTE Group.
Anwar kemudian akan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Li.
Perdana Menteri turut dijadualkan melancarkan sebuah buku bertajuk, ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times’ yang diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
-- BERNAMA