Sesi Meja Bulat Dengan 21 Firma Terkemuka China Sentuh Potensi AI, Robotik -- PM Anwar
Daripada Harlina Samson
SHANGHAI, 23 September (Bernama) -- Sesi perbincangan meja bulat delegasi Malaysia bersama pemimpin industri daripada 21 syarikat terkemuka China di sini hari ini, menyentuh pelbagai sektor berimpak tinggi termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini juga sejajar dengan usaha Malaysia untuk meneroka pelaburan strategik bernilai tinggi bagi negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sesi perbincangan yang dipengerusikan beliau itu turut menyentuh potensi bagi sektor kenderaan elektrik (EV), bahan bateri, optik termaju, bioteknologi, penjagaan kesihatan, bahan kimia khusus dan pembuatan termaju.
"Saya turut mendengar secara langsung perancangan dan aspirasi pemain industri, termasuk peluang yang mereka lihat di Malaysia serta langkah yang diperlukan untuk merealisasikan pelaburan tersebut.
"Kerajaan MADANI akan terus memudah cara pelaburan berkualiti yang membawa bersama pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan penyertaan syarikat Malaysia serta pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti," kata beliau menerusi hantaran di laman X selepas sesi perbincangan berkenaan.
Pada sesi itu juga, Anwar menekankan kelebihan Malaysia yang mempunyai asas kukuh untuk terus berkembang sebagai hab pelaburan dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini, didukung ekosistem perindustrian yang matang, tenaga kerja berkemahiran, kedudukan strategik serta jaringan rantaian bekalan yang kukuh.
Turut serta dalam perbincangan meja bulat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Perdana Menteri tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.
-- BERNAMA