CTOS Digital Kesan Akses Tanpa Kebenaran Kepada Data Pengguna
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- CTOS Digital Bhd telah mengesan akses tanpa kebenaran kepada persekitaran tertentu yang menyokong perniagaan penggunanya.
Agensi pelaporan kredit itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata insiden keselamatan siber itu melibatkan akses kepada fail data tertentu yang mengandungi subset terhad maklumat pengguna.
Sistem pemantauan keselamatan sibernya telah mengesan akses tanpa kebenaran. Syarikat berkenaan dengan serta-merta mengaktifkan protokol yang diperlukan dan berjaya membendung persekitaran yang terjejas.
Ia telah menggunakan pasukan tindak balas insiden bebas untuk menjalankan siasatan forensik yang komprehensif, kata CTOS Digital.
"Berdasarkan penilaian penyiasatan yang diterima setakat ini, insiden itu telah dibendung dalam persekitaran yang dikenal pasti.
"Sistem syarikat kekal selamat dan berfungsi sepenuhnya, dan tiada persekitaran lain yang terjejas," katanya.
Syarikat itu secara berterusan sentiasa menyemak protokol keselamatan siber dan mengukuhkan postur keselamatan sibernya mengikut laporan forensik bebas.
CTOS Digital berkata subset perkhidmatan pelaporan kredit syarikat tidak tersedia buat sementara waktu kerana ia sedang melengkapkan langkah pemulihan yang diperlukan.
"Operasi dan perkhidmatan perniagaan lain syarikat terus beroperasi dan berfungsi seperti biasa," katanya. Tiada kesan kewangan material ke atas syarikat, katanya.
Ia telah memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dan akan terus memantau keadaan. Ia akan mengumumkan perkembangan material, kata CTOS Digital.
Pihak lembaga memberi jaminan kepada pemegang saham, pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan pihak berkepentingan lain bahawa syarikat terus komited untuk menjalankan perniagaannya dengan cara yang bertanggungjawab, telus dan patuh," katanya lagi.
-- BERNAMA