BERITA TERKINI   Aichi-Nagoya 2026: Atlet karate C.Shahmalarani sumbang emas ketiga negara dalam acara kumite bawah 50kg wanita | Aichi-Nagoya 2026: Atlet e-sukan Taj Izrin Aiman Taj Madira raih emas kedua negara dalam perlumbaan Gran Turismo 7 | Malaysia dan China berada pada kedudukan baik untuk bersama-sama memacu sektor pembuatan, AI, robotik, automasi industri, EV, semikonduktor dan teknologi digital - PM Anwar  | 

Bursa Malaysia Mengukuh Sedikit Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia kembali meningkat untuk menamatkan sesi pagi dengan sedikit tinggi, disokong minat belian terhadap beberapa saham wajaran tinggi terpilih, diterajui saham telekomunikasi dan utiliti.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.04 mata kepada 1,683.54 daripada 1,683.50 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 1.31 mata lebih rendah pada 1,682.19, bergerak antara 1,676.10 hingga 1,685.37 sepanjang sesi dagangan berkenaan.

Ad Banner

Pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 509 berbanding 419. Sebanyak 507 kaunter tidak berubah, 1,436 kaunter tidak diniagakan dan 27 kaunter digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.84 bilion unit bernilai RM1.35 bilion.

Saham telekomunikasi dan media diterajui Maxis, meningkat tujuh sen kepada RM3.59, manakala kaunter utiliti diterajui Tenaga Nasional menokok 24 sen kepada RM13.34 dan Petronas Gas naik 28 sen kepada RM17.56.

Ad Banner

Apex Securities Bhd berkata saham teknologi berkemungkinan kekal dalam perhatian pelabur berikutan pengukuhan semula saham kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor global, walaupun sektor itu kekal sensitif terhadap pergerakan hasil Perbendaharaan AS.

“Kaunter utiliti juga mungkin terus menarik minat pelabur yang mengambil pendekatan defensif, disokong permintaan elektrik yang berdaya tahan serta pelaburan berterusan dalam grid dan peralihan tenaga,” katanya dalam satu nota.

Firma broker saham itu turut berkata pihaknya menjangkakan indeks penanda aras itu akan mengekalkan momentum pemulihan dalam tempoh terdekat, disokong sentimen risiko global yang bertambah baik, khususnya susulan pengukuhan semula saham teknologi dan semikonduktor.

“Penurunan harga minyak juga boleh sedikit sebanyak meredakan kebimbangan terhadap inflasi dan sentimen pasaran keseluruhan, manakala jangkaan kemajuan lanjut dalam pertemuan akan datang antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping mungkin menyokong ekuiti serantau,” katanya.

Bagi pasaran tempatan, Apex Securities berkata kelemahan baru-baru ini berkemungkinan terus menggalakkan aktiviti pembelian ketika harga rendah, walaupun kemampanan pemulihan itu dijangka bergantung kepada penambahbaikan sentimen luaran dan pembelian susulan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM10.20, Public Bank tidak berubah pada RM4.84, CIMB susut satu sen kepada RM7.89 dan IHH Healthcare mengukuh 10 sen kepada RM8.10.

Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 19 sen, Jaks Resources turun setengah sen kepada 16.5 sen, Capital A merosot satu sen kepada 26 sen, Aimax tidak berubah pada satu sen dan AirAsia susut 2.5 sen kepada 55 sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries pulih 78 sen kepada RM43.98, Nestle meningkat 36 sen kepada RM89.52, KESM Industries naik 31 sen kepada RM4.32, Fraser & Neave meningkat 26 sen kepada RM23.06 dan Samaiden menokok 21 sen kepada RM2.55.

Bagi kaunter paling rugi, BLD Plantations susut 30 sen kepada RM14.70, Hong Leong Bank turun 28 sen kepada RM23.10, United Plantations merosot 26 sen kepada RM33.28, Hong Leong Industries susut 24 sen kepada RM16.82 dan Vitrox berkurangan 20 sen kepada RM9.80.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 turun 9.91 mata kepada 17,834.50, Indeks FBM Emas susut 1.13 mata kepada 12,513.01 dan Indeks FBM Top 100 turun sedikit 1.50 mata kepada 12,306.38, manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 41.93 mata kepada 12,368.31 dan Indeks FBM ACE menokok 40.30 mata kepada 5,409.41.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 0.48 mata kepada 185.38, manakala Indeks Tenaga meningkat 1.50 mata kepada 846.15.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 124.93 mata kepada 19,609.74, manakala Indeks Perladangan berkurangan 23.03 mata kepada 9,432.98.

-- BERNAMA