BERITA TERKINI   Aichi-Nagoya 2026: Atlet karate C.Shahmalarani sumbang emas ketiga negara dalam acara kumite bawah 50kg wanita | Aichi-Nagoya 2026: Atlet e-sukan Taj Izrin Aiman Taj Madira raih emas kedua negara dalam perlumbaan Gran Turismo 7 | Malaysia dan China berada pada kedudukan baik untuk bersama-sama memacu sektor pembuatan, AI, robotik, automasi industri, EV, semikonduktor dan teknologi digital - PM Anwar  | 

Sektor OGSE Dijangka Tingkatkan Prestasi, Hasil Dalam Tempoh Tiga Tahun - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan menjangkakan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) meningkatkan prestasi serta pendapatan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang menerusi pengembangan ke pasaran luar negara, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata penyertaan lebih besar dalam pasaran antarabangsa akan mengukuhkan sumber pendapatan sektor itu, selain meningkatkan daya tahan syarikat OGSE Malaysia dalam menghadapi kejutan ekonomi dan industri.

“Apabila kita melihat potensi pasaran minyak dan gas antarabangsa, negara-negara membangun menawarkan peluang yang baik untuk kita terokai. Oleh itu, menerusi perancangan di bawah program akses pasaran antarabangsa ini, Timor-Leste akan menjadi antara destinasi yang akan kita terokai.

Ad Banner

“Namun, sudah tentu persiapan awal perlu dilakukan menerusi Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) untuk membina hubungan dan menyediakan mekanisme serta benar-benar memudahkan proses berkenaan,” kata Akmal Nasrullah selepas prapelancaran MPRC International Market Access Programme’s Privet OGSE Turkmenistan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Seri Nor Azmie Diron dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja’afar.

Pada 2023, sektor itu menjana kira-kira RM79 bilion pengeluaran kasar dan RM39.4 bilion nilai ditambah kepada ekonomi.

Ad Banner

Sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan itu, 14 syarikat OGSE Malaysia akan menyertai misi ke Turkmenistan yang dijadualkan pada Oktober bagi menilai peluang dalam industri minyak dan gas negara Asia Tengah berkenaan.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh MPRC menerusi IMAP, yang bertujuan membantu syarikat OGSE Malaysia mempelbagaikan serta memperluas kehadiran mereka dalam pasaran antarabangsa.

Syarikat yang dipilih adalah berdasarkan keupayaan, kredibiliti dan minat mereka untuk meneroka peluang di Turkmenistan.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata kepelbagaian pasaran antarabangsa penting untuk meningkatkan daya tahan syarikat OGSE Malaysia dan mengurangkan kebergantungan mereka terhadap pasaran domestik.

Malaysia mempunyai kira-kira 2,894 syarikat OGSE, dengan 91 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Beliau berkata kerajaan mahu membantu syarikat-syarikat berkenaan meningkatkan skala keupayaan mereka, termasuk dengan membolehkan mereka meneroka peluang di luar negara.

-- BERNAMA