Pelaburan Dalam Sektor Huluan Petronas Sokong Prospek O&G Malaysia - RHB IB
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- RHB Investment Bank (RHB IB) mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia, dengan pertumbuhan berterusan pelaburan huluan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengukuhkan lagi prospek positifnya.
Bank pelaburan itu memaklumkan bahawa perbelanjaan modal huluan Petronas meningkat sebanyak 19 peratus tahun ke tahun kepada RM8.7 bilion pada separuh pertama 2026, menjadikannya petunjuk aktiviti O&G yang lebih relevan berbanding jumlah pelaburan modalnya dalam tempoh tersebut.
Jumlah pelaburan modal Petronas mencecah RM41.4 bilion pada separuh pertama 2026, walaupun angka keseluruhan itu dipengaruhi oleh subsektor hiliran, menyumbang RM26 bilion atau 63 peratus daripada jumlah berkenaan.
Menurut RHB, ketidakseimbangan angka itu sebahagian besarnya didorong oleh suntikan modal tambahan ke dalam usaha sama Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada urus niaga Petronas untuk memperoleh pemilikan penuh kompleks berkenaan.
"Secara keseluruhannya, kami percaya pertumbuhan dalam pelaburan huluan kekal sebagai faktor positif utama bagi sektor O&G Malaysia," menurut RHB dalam laporan Kemas Kini Sektor Malaysia hari ini.
Ia juga menyatakan bahawa segmen huluan Petronas kekal sebagai tonggak pendapatan utama kumpulan, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 70 peratus tahun ke tahun kepada RM28.1 bilion pada separuh pertama 2026, disokong oleh harga realisasi purata yang lebih tinggi.
Sementara itu, segmen gas dan tenaga baharu mencatatkan peningkatan PAT sebanyak 60 peratus kepada RM16.7 bilion, didorong oleh jumlah jualan gas asli cecair (LNG) dan gas diproses yang lebih tinggi, harga realisasi purata LNG yang lebih tinggi serta margin produk LNG yang lebih kukuh.
Mengenai musim pelaporan pendapatan terkini, RHB IB menyatakan bahawa keputusan dicatatkan adalah bercampur-campur, dengan lima daripada sembilan syarikat telah melaporkan keputusan kewangan mereka melebihi jangkaan, manakala empat lagi gagal mencapai jangkaan tersebut.
Ia menyatakan bahawa prestasi yang lebih baik daripada jangkaan oleh syarikat-syarikat utama bermodal besar, termasuk MISC Bhd, Dialog Group Bhd dan Petronas Dagangan Bhd telah mengatasi kegagalan mencapai sasaran pendapatan, termasuk bagi Petronas Chemicals Group Bhd.
Bagi prospek masa depan, RHB IB mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent pada paras US$89 setong bagi 2026 dan US$72 setong bagi 2027, dengan ketegangan geopolitik dijangka memberikan sokongan jangka pendek kepada harga minyak, harga petrokimia dan kadar pengangkutan.
Ia juga menjangkakan kadar sewa kapal tangki kekal melebihi paras tahun lepas, disokong oleh eksport minyak mentah yang lebih tinggi, aliran perdagangan jarak jauh serta bekalan kapal yang terhad.
Bagaimanapun, harga dan permintaan minyak yang lebih lemah, serta perbelanjaan pelanggan lebih rendah, merupakan risiko penurunan bagi prospek sektor tersebut.
-- BERNAMA