BERITA TERKINI   Potensi pelaburan dari China merangkumi sektor semikonduktor, AI, robotik, EV, bioteknologi dan peranti perubatan termaju - PM Anwar | Malaysia raih potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil perbincangan perniagaan dan pertemuan dengan syarikat industri China - PM Anwar | 17 kerusi baharu DUN Sarawak tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri akan datang - Pengerusi SPR | SPR terima 18 bantahan terhadap kajian semula persempadanan negeri Sarawak setakat ini - Pengerusi SPR | 

Sabah Kekal Pengeluar MSM Kedua Terbesar Negara - Noraini

KOTA KINABALU, 24 Sept (Bernama) -- Sabah kekal sebagai pengeluar minyak sawit mentah (MSM) kedua terbesar pada tahun lalu dengan menyumbang hampir 24 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran di Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kedudukan itu mencerminkan kepentingan Sabah dalam industri sawit negara, selain menjadi sumber pendapatan utama kepada ribuan pekebun kecil di negeri berkenaan.

Beliau berkata pekebun kecil memainkan peranan penting dalam rantaian industri sawit negara dengan golongan itu mengusahakan lebih 15 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman sawit di Malaysia.

Ad Banner

Bagaimanapun, golongan berkenaan terus berdepan pelbagai cabaran termasuk pokok sawit yang telah tua, kos operasi, kekurangan tenaga kerja, perubahan iklim dan tuntutan pasaran yang semakin kompleks, katanya.

“Kerajaan memahami bahawa kehidupan pekebun kecil tidak sentiasa mudah. Mereka berhadapan dengan pokok tua, kos operasi yang tinggi, kekurangan tenaga kerja, perubahan iklim dan tuntutan pasaran yang semakin kompleks.

“Atas sebab itu, bantuan penanaman semula, latihan, penggunaan teknologi, pendigitalan dan akses pasaran terus diperkukuh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar.

Ad Banner
Ad Banner

Sehubungan itu, Noraini berkata bantuan penanaman semula, latihan, penggunaan teknologi, pendigitalan serta akses pasaran terus diperkukuh menerusi Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bagi meningkatkan kemampanan, produktiviti dan nilai hasil sawit.

Dalam perkembangan lain, Noraini berkata hampir 30,384 pekebun kecil di Sabah telah memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) melibatkan kawasan tanaman melebihi 188,000 hektar.

Jumlah itu mewakili 97.17 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman sawit milik pekebun kecil persendirian di Sabah.

Persidangan PKPKS yang diadakan secara dwitahunan itu antara lain menjadi platform perkongsian teknologi, kemudahan yang ditawarkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), selain menimba pengalaman daripada pemain industri.

-- BERNAMA