BERITA TERKINI   Potensi pelaburan dari China merangkumi sektor semikonduktor, AI, robotik, EV, bioteknologi dan peranti perubatan termaju - PM Anwar | Malaysia raih potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil perbincangan perniagaan dan pertemuan dengan syarikat industri China - PM Anwar | 17 kerusi baharu DUN Sarawak tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri akan datang - Pengerusi SPR | SPR terima 18 bantahan terhadap kajian semula persempadanan negeri Sarawak setakat ini - Pengerusi SPR | 

Kemampuan Perumahan Wajar Ambil Kira Kos Hidup - PropertyGuru

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kemampuan perumahan harus dinilai berdasarkan kos sara hidup yang menyeluruh seperti bayaran sewa atau gadai janji, pengangkutan, utiliti, penyelenggaraan dan akses kepada keperluan harian, kata pasaran hartanah dalam talian.

Pengarah Urusan PropertyGuru Malaysia dan iProperty Malaysia, Vic Sithasanan berkata kemampuan ini tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui harga hartanah disebabkan rakyat Malaysia bergerak antara menyewa dan memiliki rumah pada peringkat kehidupan yang berbeza bergantung kepada pendapatan, keperluan isi rumah, pekerjaan dan lokasi.

"Belanjawan 2027 adalah peluang untuk terus mengiktiraf sewa sebagai bahagian teras ekosistem perumahan di Malaysia.

Ad Banner

"Ini termasuk menambah baik akses kepada bekalan sewa yang sesuai, dipercayai dan mampu milik, sambil memberi tuan tanah serta ejen yang bertanggungjawab laluan lebih jelas untuk membawa bekalan itu ke pasaran," katanya melalui satu kenyataan sempena Belanjawan 2027 akan datang.

Berdasarkan data platform PropertyGuru, Vic menjelaskan carian sewaan mengatasi carian untuk penjualan hartanah, dengan hartanah sewaan juga disenarai pendek lebih kerap daripada hartanah untuk dijual.

Menurut Kajian Sentimen Pengguna pada separuh pertama PropertyGuru 2026, dalam kalangan penyewa yang ditinjau, 81 peratus berkata sewa adalah terlalu tinggi; 51 peratus telah berpindah lebih jauh dari bandar berikutan kos perumahan, manakala, 89 peratus membayar sewa kurang daripada RM1,500 sebulan.

Ad Banner
Ad Banner

Syarikat itu juga sedang mencari untuk menyokong bekalan penyewaan melalui Pay Per Post, pilihan penyenaraian fleksibel baharunya bagi ejen yang dipercayai dan pemilik hartanah.

"Dengan memudahkan penyenaraian hartanah individu di PropertyGuru dan iProperty Malaysia, kami berharap dapat membantu lebih banyak penyenaraian sewaan yang sesuai kepada penyewa yang sudah aktif membuat carian di platform atas talian, sambil memastikan kepercayaan dan kualiti penyenaraian kekal menjadi keutamaan," katanya.

Kemampuan juga harus mengambil kira kos berulang untuk tinggal di rumah.

Beliau menyatakan bahawa kecekapan tenaga, akses pengangkutan awam, ketersambungan, daya tahan terhadap perubahan iklim dan kedekatan dengan perkhidmatan harian bukan sekadar pilihan gaya hidup, ini disebabkan ia mempengaruhi perbelanjaan isi rumah setiap bulan selain kepraktikalan rumah untuk didiami.

Kajian Sentimen Pengguna  Separuh Pertama 2026 PropertyGuru mendapati 86 peratus responden menganggap ciri-ciri lestari adalah penting semasa membeli atau menyewa rumah, manakala 78 peratus mengambil kira risiko iklim seperti banjir dan tanah runtuh semasa membeli hartanah.

Infrastruktur dan kemudahan turut diutamakan oleh 30 peratus  responden.

"Untuk Belanjawan 2027, ini bermakna kemampuan perumahan harus dilihat bersama-sama kos sara hidup yang lebih luas di lokasi tertentu.

"Langkah kemampuan yang lebih praktikal akan mengambil kira bukan sahaja harga sewa atau pembelian tetapi juga pengangkutan, utiliti, ketersambungan, dan akses kepada perkhidmatan penting," kata Vic.

Bagi penggubal dasar dan pemain industri, ini bermakna melihat melangkaui angka bekalan keseluruhan untuk memahami permintaan di peringkat tempatan, hasrat untuk menyewa atau memiliki, kemampuan dari segi harga, stok perumahan sedia ada serta tahap ketersambungan.

Set data awam kekal penting tetapi ia boleh diperkukuh dengan isyarat permintaan pelengkap daripada sektor swasta, termasuk cara pengguna mencari, menyenarai pendek dan bertanya.

“Digunakan secara bertanggungjawab dan secara agregat, isyarat sedemikian boleh membantu mengenal pasti ketidakpadanan lebih awal, membolehkan rumah, infrastruktur dan perkhidmatan lebih sejajar dengan keperluan komuniti.

“Belanjawan 2027 memberi peluang untuk membenamkan pendekatan yang diterajui permintaan ini dengan lebih mantap dalam perancangan perumahan,” kata Vic lagi.

-- BERNAMA