BERITA TERKINI   Perbincangan lanjut cadangan ECRL akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan - PM Anwar | Malaysia, China setuju cadangan sambung ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan - PM Anwar | Potensi pelaburan dari China merangkumi sektor semikonduktor, AI, robotik, EV, bioteknologi dan peranti perubatan termaju - PM Anwar | Malaysia raih potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil perbincangan perniagaan dan pertemuan dengan syarikat industri China - PM Anwar | 

AirBorneo Meterai Perjanjian MRO Dengan Pratt & Whitney Canada

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 24 Sept (Bernama) -- Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo Airways memeterai perjanjian selama empat tahun dengan Pratt & Whitney Canada bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) secara menyeluruh sehingga 2030.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan kontrak berkenaan merangkumi perkhidmatan MRO bagi enjin PW127M yang digunakan bagi menggerakkan pesawat turboprop serantau ATR 72-500 miliknya.

Ad Banner

Syarikat penerbangan itu mengendalikan pesawat ATR 72-500 dalam rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar, iaitu perkhidmatan awam penting yang menghubungkan komuniti terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Malaysia Timur.

Enjin AirBorneo akan diselenggara terutama di kemudahan Pratt & Whitney Canada di Singapura, yang merupakan hab penting bagi sokongan pelanggan di seluruh rantau Asia Pasifik.

PW127M adalah sebahagian daripada keluarga enjin PW100 keluaran Pratt & Whitney Canada, yang telah digunakan dalam operasi turboprop serantau selama lebih 40 tahun.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Aminuddin berkata sokongan yang disediakan oleh Pratt & Whitney Canada di kemudahannya di Singapura membolehkan syarikat penerbangan itu menyelenggara dan membaiki enjinnya di lokasi yang lebih dekat, sekali gus membolehkan pesawatnya kembali beroperasi dengan lebih cepat.

“Keyakinan itu memberikan kami kepastian operasi yang diperlukan untuk terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan secara konsisten di laluan dalam Borneo, dengan pengangkutan udara yang boleh dipercayai adalah penghubung penting bagi komuniti terpencil,” katanya.

-- BERNAMA