BERITA TERKINI   Perbincangan lanjut cadangan ECRL akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan - PM Anwar | Malaysia, China setuju cadangan sambung ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan - PM Anwar | Potensi pelaburan dari China merangkumi sektor semikonduktor, AI, robotik, EV, bioteknologi dan peranti perubatan termaju - PM Anwar | Malaysia raih potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil perbincangan perniagaan dan pertemuan dengan syarikat industri China - PM Anwar | 

Malaysia Perlu Jadi Pembentuk Pasaran Halal Global - Zulkifli 

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu beralih daripada peranan sebagai penanda aras industri halal, dengan melaksanakan tugas lebih besar sebagai pihak yang membentuk pasaran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan. 

Beliau berkata visi Malaysia perlu berkembang iaitu daripada sekadar mendapat pensijilan halal kepada berdaya saing dalam pasaran halal, daripada bersedia untuk pasaran kepada bersedia untuk eksport, dan daripada pemain tempatan kepada peneraju global.

“Pertama, daripada pensijilan kepada pengkomersialan. Pensijilan kekal sebagai perkara asas, tetapi ia seharusnya menjadi permulaan bagi perjalanan komersial, bukan pengakhiran.

Ad Banner

“Produk kita mesti mampu bersaing di Riyadh, Jakarta, Tokyo, London dan Dubai melalui penjenamaan, pembungkusan, piawaian, perisikan pasaran, pengedaran, pendigitalan dan pengantarabangsaan yang lebih kukuh,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua; Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat halal yang mampu berkembang melangkaui permintaan domestik dan menjadi pemain serantau serta global.

Zulkifli berkata transformasi ketiga ialah daripada rantaian bekalan domestik kepada rantaian nilai ASEAN dan global.

Ad Banner
Ad Banner

“Perniagaan kita perlu melangkaui sekadar mengeksport produk siap. Malaysia boleh membekalkan bahan ramuan halal, ASEAN boleh menjalankan aktiviti pengilangan manakala pasaran lain menyumbang teknologi dan pengedaran.

“Kita bersama-sama boleh membina ekosistem yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata transformasi keempat melibatkan peralihan daripada sektor halal tradisional kepada industri bernilai tinggi.

“Ekonomi halal bukan sahaja meliputi makanan dan minuman, malah farmaseutikal, kosmetik, penjagaan kesihatan, peranti perubatan, logistik, hospitaliti, fesyen sopan dan perkhidmatan digital.

"Memandangkan kecerdasan buatan mengubah landskap dunia kita, kita mesti menjadi entiti yang dipacu teknologi, berintensifkan pengetahuan serta diterajui oleh inovasi," katanya.

Menurut Zulkifli transformasi kelima memerlukan peralihan daripada sokongan kerajaan kepada kerjasama ekosistem.

“Kerajaan tidak boleh membangunkan ekonomi halal secara bersendirian. Industri, pelabur, institusi kewangan, universiti, penyedia teknologi, usahawan dan rakan kongsi antarabangsa mesti memainkan peranan,” katanya.

Beliau berkata fasa seterusnya industri halal akan menjadi milik pihak yang membina jenama berdaya saing, menguasai rantaian bekalan dan menembusi pasaran antarabangsa.

Zulkifli berkata ASEAN perlu berusaha ke arah membangunkan ekosistem ekonomi halal yang saling berhubung, dengan piawaian yang memudahkan perdagangan, rantaian bekalan merentasi sempadan dan inovasi yang bergerak lebih pantas.

Sementara itu, Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC) Mohd Afandi Salleh berkata negara-negara bukan Islam menunjukkan minat yang semakin meningkat untuk membangunkan industri halal masing-masing bagi pasaran domestik dan eksport.

Bercakap kepada pemberita di luar persidangan itu, beliau berkata wakil dari negara seperti Eropah, China dan negara lain dunia telah mengadakan pertemuan dengan HDC tahun ini bagi membincangkan mengenai pembangunan halal dan potensi kerjasama.

“Sebagai contoh, Brazil, yang merupakan antara pengeksport daging terbesar dunia, turut menunjukkan minat terhadap sektor halal Malaysia.

“HDC membawa banyak syarikat Malaysia ke negara-negara berkenaan tahun ini untuk meneroka peluang perniagaan,” katanya.

Dianjurkan oleh HDC sebagai sebahagian daripada acara Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026, WHBC menarik penyertaan kira-kira 500 peserta dari Malaysia dan luar negara, melibatkan lebih 40 negara.

Persidangan itu turut menandakan ulang tahun ke-20 HDC dan edisi ke-18 persidangan berkenaan.

-- BERNAMA