Syarikat Digital Malaysia Bersedia Bersaing Di Peringkat Global -- MATRADE
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Syarikat berasaskan teknologi dan digital Malaysia mempunyai kemampuan untuk bersaing di peringkat global dan penyertaan dalam Ekspo Perdagangan Digital Global ke-5 (GDTE) merupakan satu langkah ke hadapan bagi memanfaatkan ekonomi digital China yang luas.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Abu Bakar Yusof berkata penyertaan agensi itu juga selaras dengan strategi eksport MATRADE iaitu mempelbagaikan pasarannya di China dengan memberi tumpuan kepada bandar tahap kedua, ketiga dan keempat.
Selain itu, agensi itu turut mempelbagaikan campuran produknya termasuk barangan dan penyelesaian berasaskan teknologi tinggi.
MATRADE dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menghimpunkan 15 pempamer dan empat agensi kerajaan di Pavilion Malaysia pada GDTE ke-5, yang berlangsung dari 23 hingga 27 September di Pusat Pameran dan Konvensyen Besar Hangzhou.
Tambah MATRADE, pavilion itu menampilkan inovasi dan kekuatan Malaysia dalam bidang perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan awan, penjagaan kesihatan pintar dan e-dagang rentas sempadan.
Pada masa sama, MATRADE turut bertukar-tukar memorandum persefahaman dengan Industrial and Commercial Bank of China (ICBC) bagi meningkatkan kapasiti eksport perusahaan mikro, kecil dan sederhana Malaysia, serta memudahkan akses mereka ke pasaran China, termasuk menerusi platform perdagangan digital rentas sempadan.
“GDTE tahun ini diadakan dengan tema ‘Bertemu Masa Hadapan AI’, dengan penyertaan pempamer antarabangsa merangkumi lebih 20 peratus daripada kawasan pameran ekspo seluas 170,000 meter persegi itu.
“Malaysia dan Hungary bertindak sebagai Negara Kehormat bersama, yang berjaya menarik penyertaan wakil daripada 121 negara dan wilayah serta 29 pertubuhan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA