BERITA TERKINI   Perbincangan lanjut cadangan ECRL akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan - PM Anwar | Malaysia, China setuju cadangan sambung ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan - PM Anwar | Potensi pelaburan dari China merangkumi sektor semikonduktor, AI, robotik, EV, bioteknologi dan peranti perubatan termaju - PM Anwar | Malaysia raih potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil perbincangan perniagaan dan pertemuan dengan syarikat industri China - PM Anwar | 

Malaysia Tetapkan Langkah Perlindungan Eksport Karbon Demi Melindungi Komitmen NDC

KOTA KINABALU, 24 Sept  (Bernama) -- Malaysia akan menguruskan eksport aset karbonnya secara bertanggungjawab dengan mewujudkan senarai putih kelayakan dan menetapkan had jualan yang dinamik, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata pendekatan seperti itu akan melindungi aset karbon Malaysia dan memastikan pemindahan di peringkat antarabangsa tidak menjejaskan komitmen Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) yang bersifat tanpa syarat.

Bagi memastikan pelan hala tuju negara berasaskan bukti yang kukuh, Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dirangka secara langsung berdasarkan Keluk Kos Pengurangan Marginal Kebangsaan yang pertama bagi Malaysia, bersifat komprehensif dan dimodelkan secara empirikal, kata Arthur.

Ad Banner

"Penemuan kami menunjukkan Malaysia mempunyai potensi teknikal untuk mengurangkan pelepasan sebanyak 56 juta tan karbon dioksida setara menjelang 2030.

"Kira-kira 70 peratus daripada potensi pengurangan ini - sekitar 39 juta tan - boleh dicapai melalui penyelesaian kos rendah atau kos negatif di bawah RM100 setiap tan," kata beliau pada Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon untuk Sabah di sini hari ini.

Arthur berkata langkah-langkah domestik yang memberikan hasil segera ini merangkumi pemulihan haba sisa perindustrian di kilang simen dan keluli, penambahbaikan kecekapan tenaga di seluruh bangunan komersial dan kediaman, serta tenaga boleh baharu yang berskala kecil.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menegaskan usaha pengurangan pelepasan itu mesti dilaksanakan di peringkat domestik melalui kod bangunan, peraturan tenaga dan piawaian kecekapan tenaga yang ditetapkan sendiri oleh Malaysia.

Arthur berkata Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan yang dilancarkan pada 21 April tahun ini, berfungsi sebagai pelan tindakan pasaran karbon yang komprehensif untuk Malaysia.

Beliau berkata dasar itu mewujudkan perdagangan karbon sukarela dan pematuhan berintegriti tinggi, mewajibkan Pendaftaran Karbon Kebangsaan dengan rangka kerja pemantauan, pelaporan dan pengesahan (MRV) yang diselaraskan bagi mencegah pengiraan berganda, serta menstrukturkan laluan pengesahan di bawah Artikel 6.

Dasar berkenaan juga turut menyelaraskan pembangunan pasaran karbon dengan strategi penyahkarbonan mengikut sektor merentas tenaga, perhutanan, pertanian dan industri, kata menteri itu.

Di peringkat antarabangsa, Arthur berkata kementeriannya telah melaksanakan rangka kerja penyertaan pihak tuan rumah Malaysia di bawah Artikel 6.4 dan memajukan perjanjian dua hala di bawah Artikel 6.2 dengan rakan kongsi seperti Singapura dan Korea Selatan.

Beliau berkata Malaysia juga sedang membuat persiapan bagi pematuhan mandatori CORSIA untuk penerbangan antarabangsa bermula pada 2027, dalam memastikan kredit karbon yang dijana di Malaysia dapat memenuhi permintaan sektor penerbangan antarabangsa, selaras dengan Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia.

"Pada masa yang sama, kerjasama erat kami dengan Persatuan Pasaran Karbon Malaysia dalam membangunkan Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN akan memastikan piawaian domestik kita mencapai kesalingoperasian merentas sempadan di rantau ini," kata beliau.

Arthur berkata Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan diperkenalkan untuk menyokong perniagaan dalam melakukan peralihan dan penyahkarbonan, sekali gus membolehkan negara secara keseluruhannya menggunakan mekanisme pengimbangan atau kredit karbon secara strategik untuk mencapai aspirasi iklimnya, iaitu NDC.

Beliau berkata Malaysia, seperti semua pihak lain dalam Perjanjian Paris, diwajibkan untuk merangka NDC sendiri, dengan NDC 3.0 yang dikemas kini telah dikemukakan pada Oktober 2025.

Ia merangkumi komitmen Malaysia untuk mencapai kemuncak pelepasan gas rumah hijau antara 2029 dan 2034, diikuti oleh sasaran pengurangan pelepasan mutlak sebanyak 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara (MtCO2e) menjelang 2035 berbanding paras pelepasan pada tahap kemuncak.

Ini merangkumi pengurangan tanpa syarat sebanyak 20 MtCO2e melalui usaha domestik dan pengurangan bersyarat sebanyak 10 MtCO2e lagi yang disokong oleh pasaran karbon antarabangsa, pemindahan teknologi dan pembiayaan iklim," tambahnya.

-- BERNAMA