Luno, Halogen Capital, Kenanga Investors Jalin Kerjasama Teroka Stablecoin Bersandarkan Ringgit
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Luno Malaysia Sdn Bhd telah membentuk kerjasama strategik dengan Halogen Capital Sdn Bhd dan Kenanga Investors Bhd untuk meneroka penggunaan stablecoin (mata wang kripto) bersandarkan ringgit dan berizab penuh (UMYR) sebagai instrumen penyelesaian dalam rantaian bagi dana pasaran wang bertoken.
Kerjasama ini menggabungkan tiga entiti dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), iaitu Luno, pengendali pasaran diiktiraf (bursa aset digital) serta Halogen Capital dan Kenanga Investors, merupakan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal (CMSL) yang mengendalikan dana dan mandat ditokenkan.
"Inisiatif ini bertujuan untuk menunjukkan penyelesaian 'penyerahan-berbanding-pembayaran' (DvP) masa sebenar bagi langganan dan penebusan dana, sekali gus mengurangkan tempoh masa penyelesaian yang lazimnya diguna pakai dalam sistem konvensional," kata syarikat-syarikat dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kesemua syarikat berkenaan memaklumkan bahawa UMYR dicadangkan untuk diterbitkan oleh entiti penerbitan khusus yang diasingkan dalam kumpulan Luno, serta disokong pada nisbah satu-dengan-satu oleh ringgit yang dipegang di dalam negara dalam akaun berasingan bersama rakan kongsi perbankan dikawal selia.
Di bawah inisiatif dicadangkan itu, Luno selaku penerbit akan menjana dan melupuskan UMYR berdasarkan nisbah 1:1 yang ketat terhadap ringgit yang diterima atau dibayar keluar, menurut kenyataan itu.
Menurut syarikat itu, bursa aset digital itu juga akan menguruskan proses pendaftaran pelanggan institusi dan penyenaraian putih dompet (wallet whitelisting) dan menyediakan penyelarasan rizab harian yang disokong oleh pengesahan rizab daripada pihak ketiga yang bebas.
"Halogen Capital dan Kenanga Investors (sebagai rakan kongsi dana) akan mengambil bahagian sebagai pengurus dana bagi kes penggunaan ini, dengan menerima UMYR untuk penyelesaian langganan dan penebusan dana pasaran wang mereka yang ditokenkan.
"(Kedua-dua rakan kongsi dana akan memikul) tanggungjawab penuh bagi pengurusan dana, pendaftaran unit, dan kewajipan terhadap pelabur di bawah lesen CMSL masing-masing," menurut kenyataan itu.
Menurut syarikat berkenaan, kerjasama tersebut menandakan satu langkah penting ke arah menguji infrastruktur aset digital dikawal selia bersama ekosistem pengurusan dana sedia ada di Malaysia.
-- BERNAMA