Malaysia-Thailand Manfaatkan Kekuatan Sektor Halal, Getah Teroka Peluang Global Bernilai Tinggi
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Thailand perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam industri halal dan getah untuk mewujudkan peluang bernilai tinggi selain perdagangan dua hala dan berkembang ke pasaran ASEAN dan global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara tidak seharusnya diukur terutamanya oleh jumlah eksport dan import, tetapi juga nilai yang diwujudkan melalui kerjasama yang erat.
“Hubungan antara Malaysia dan Thailand bukan hanya mengenai kesalinghubungan, yang memberi kelebihan kepada kedua-dua negara berikutan kedudukan geografi yang berdekatan.
“Bagaimanapun, potensinya juga perlu dinilai melangkaui jumlah perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan di Forum Ekonomi ke-3 2026 di sini hari ini.
Bertemakan, ‘Bridging the Two Borders: Elevating Thailand-Malaysia Resilient Value Chains in Halal and Rubber Industries’, forum sehari ini dianjurkan oleh Kedutaan Diraja Thailand.
-- BERNAMA