BERITA TERKINI   SPR adakan mesyuarat khas pada 7 Okt ini, bincang tarikh penting PRN Melaka | Majlis Halal Malaysia-Indonesia akan ditubuhkan, mesyuarat pertama pada Oktober 2026 - TPM Zahid | MIHAS menjana jualan US$1.2 bilion dalam tempoh dua hari - TPM Zahid | SMKA Jempol, Negeri Sembilan bakal jadi sekolah aliran agama TVET pertama negara - Fadhlina | Malaysia-Thailand manfaatkan kekuatan dalam sektor halal dan getah untuk meneroka pasaran ASEAN serta global bernilai tinggi - Akmal Nasrullah | 

Projek Kelulut SejaTi MADANI Jana Jualan RM19,108, Manfaatkan Komuniti Kampung Air Merah

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 25 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan Program SejaTi MADANI memberi impak langsung kepada ekonomi komuniti Kampung Air Merah di sini apabila projek ternakan lebah kelulut yang disertai 13 peserta daripada golongan B40 dan asnaf berjaya menjana hasil jualan RM19,108 dalam tempoh lebih setahun.

Projek ekonomi komuniti bernilai RM100,000 itu menghasilkan 95.54 kilogram madu kelulut sejak pengeluaran bermula pada Mei 2025 hingga Ogos lepas, sekali gus menyediakan sumber pendapatan sampingan kepada peserta selain menyumbang kepada tabung Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Air Merah.

Ad Banner

Ketua Kampung Air Merah Muftahuddin Fakeh berkata 70 peratus hasil jualan diagihkan kepada peserta, manakala baki 30 peratus dimasukkan ke akaun JPKK untuk dimanfaatkan bagi keperluan komuniti setempat.

Beliau berkata projek yang bermula pada 15 Dis, 2024 itu memanfaatkan tanah terbiar seluas kira-kira 0.8 hektar di Jalan Salleh, dengan 66 tunggul kelulut ditempatkan di enam plot.

“Pada mulanya saya merancang untuk melaksanakan projek berkaitan alam sekitar, namun hasil perbincangan bersama JPKK, kami memilih projek ternakan lebah kelulut kerana mempunyai potensi menjana pendapatan, sekali gus memperkasa ekonomi penduduk,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner

Muftahuddin berkata peserta dan jawatankuasa pelaksana turut menerima bimbingan menerusi ceramah, lawatan serta latihan praktikal meliputi penyediaan tapak, pengendalian dan penjagaan tunggul, penyelenggaraan, penuaian serta pemasaran madu.

Sementara itu, Pengurus Projek Jamilah Salleh, 51, berkata sebanyak 66 tunggul kelulut dibeli pada peringkat awal dengan harga RM750 setiap satu daripada syarikat pembekal As Dihan Enterprise dari Pahang.

Pesara guru Matematik itu berkata madu biasanya dituai apabila kantung madu telah tertutup sepenuhnya, lazimnya dalam tempoh 21 hingga 30 hari, bergantung pada keadaan cuaca dan ketersediaan sumber bunga.

“Dalam keadaan cuaca panas dan sumber bunga yang mencukupi, satu plot mampu menghasilkan sehingga enam kilogram madu atau kira-kira 30 botol sebulan.”

“Madu kelulut ini dijual pada harga RM40 sebotol bagi berat 200 gram, manakala kapasiti pengeluaran keseluruhan ketika ini sekitar 100 botol sebulan,” katanya.

Jamilah berkata setiap plot dikendalikan oleh dua hingga tiga peserta daripada golongan B40 yang berdaftar di bawah eKasih, sekali gus membuka peluang kepada mereka menyertai aktiviti ekonomi yang mampu menjana pendapatan secara berterusan.

Beliau berkata produk madu kelulut berkenaan dipasarkan setiap minggu di Pasar Jumaat selain mempunyai pelanggan tetap, manakala pihaknya merancang mengikuti latihan pemasaran bagi memperluas pasaran.

“Kami juga berhasrat meningkatkan skala pengeluaran sekiranya menerima suntikan modal tambahan pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Jamilah, projek itu turut menerima sumbangan Jabatan Pertanian dalam bentuk log kelulut dan sangkar perlindungan bagi menyokong pengoperasian projek berkenaan.

Program SejaTi MADANI diperkenalkan kerajaan bagi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti melalui penyediaan dana antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi memperkasa sosioekonomi penduduk setempat.

-- BERNAMA