BERITA TERKINI   SPR adakan mesyuarat khas pada 7 Okt ini, bincang tarikh penting PRN Melaka | Majlis Halal Malaysia-Indonesia akan ditubuhkan, mesyuarat pertama pada Oktober 2026 - TPM Zahid | MIHAS menjana jualan US$1.2 bilion dalam tempoh dua hari - TPM Zahid | SMKA Jempol, Negeri Sembilan bakal jadi sekolah aliran agama TVET pertama negara - Fadhlina | Malaysia-Thailand manfaatkan kekuatan dalam sektor halal dan getah untuk meneroka pasaran ASEAN serta global bernilai tinggi - Akmal Nasrullah | 

Indeks Pelopor Malaysia Meningkat 1.1 Peratus Pada Julai

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Indeks Pelopor (IP) Malaysia meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun kepada 115.3 mata pada Julai 2026 daripada 114.0 mata pada bulan sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jabatan itu memaklumkan peningkatan berkenaan didorong terutamanya oleh import benar logam berharga asas lain dan logam bukan ferus lain yang meningkat 24.1 peratus, serta import benar semikonduktor yang meningkat 17.4 peratus.

“Bagaimanapun, prestasi keseluruhan sedikit sederhana berikutan aktiviti yang lebih sederhana dalam beberapa komponen, terutamanya bilangan syarikat baharu yang didaftarkan,” menurut DOSM dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, IP meningkat 0.3 peratus, disokong oleh bekalan wang benar (M1) dan import benar semikonduktor, yang masing-masing menyumbang 0.1 peratus.

DOSM memaklumkan meskipun aliran trend jangka panjang terlicin IP kekal di bawah 100.0 mata, prospek ekonomi domestik dijangka terus berdaya tahan, disokong kukuh oleh pasaran buruh domestik yang stabil dengan kadar pengangguran kekal rendah.

“Selain itu, kemasukan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor teknologi tinggi, di samping permintaan global yang berterusan terhadap ekosistem semikonduktor serta produk elektrik dan elektronik (E&E), menjadi penampan utama dalam mengekalkan kestabilan ekonomi Malaysia berdepan ketidaktentuan pasaran luaran,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Indeks Serentak (IS), yang mencerminkan perkembangan ekonomi semasa, meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun kepada 131.5 mata pada Julai 2026 daripada 129.3 mata pada Julai 2025.

Pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan 5.8 peratus dalam caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diikuti peningkatan 4.5 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian.

Bagaimanapun, pada asas bulanan, IS susut 0.1 peratus berikutan penurunan masing-masing 0.2 peratus dalam caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penggunaan kapasiti dalam sektor pembuatan.

-- BERNAMA