Malaysia Antara Lima 'Fabulous Five’ ASEAN Dijangka Tarik Banyak FDI - Ahli Ekonomi
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia antara lima ekonomi ASEAN yang berpotensi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), disokong oleh kekuatan masing-masing dalam sektor pembuatan dan infrastruktur digital.
Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata lima ekonomi berkenaan iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat berikutan pelaburan beralih kepada kapasiti produktif di rantau ini.
“Pusat graviti pelaburan ASEAN sedang beralih ke arah kapasiti produktif -- dan lima ekonomi ini menjadi tonggak kepada peralihan itu,” katanya kepada Bernama dalam kenyataan.
Shan, yang menamakan kumpulan itu sebagai ‘Fabulous Five’ atau kelompok lima ekonomi hebat menganggarkan kesemua negara itu menerima US$85.3 bilion (US$1 = RM4.08) dalam FDI pada 2025, iaitu kira-kira 35 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI ASEAN sebanyak US$243.9 bilion.
Anggaran beliau itu dibuat berdasarkan data Laporan Pelaburan Dunia 2026 oleh Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).
Beliau turut menganggarkan bahawa lima ekonomi itu menyumbang sebanyak US$84.8 bilion atau kira-kira 80 peratus daripada sebanyak US$105.6 bilion pelaburan baharu yang diumumkan di ASEAN.
“Projek yang sedang dirancang ini memberikan petunjuk yang jelas. Projek ini menunjukkan hasrat bukan wang yang telah dilaburkan. Namun tumpuan projek-projek itu memberi gambaran mengenai lokasi kilang, pusat data dan kapasiti semikonduktor baharu di rantau ini,” katanya.
Memetik Laporan Pelaburan ASEAN 2025, beliau berkata FDI dalam sektor pembuatan di rantau ini meningkat hampir 150 peratus kepada US$44 bilion pada 2024.
“Infrastruktur digital mengukuhkan lagi prospek ini,” katanya sambil merujuk unjuran McKinsey bahawa rantaian nilai pusat data global memerlukan kira-kira US$6.7 trilion dari segi pelaburan terkumpul antara 2025 hingga 2030.
Beliau berkata McKinsey mengenal pasti Johor, selain Jakarta, Indonesia dan Chonburi,Thailand sebagai antara lokasi pusat data yang sedang berkembang di Asia.
Shan turut memetik perbincangan oleh The Economist mengenai sama ada perkembangan pusat data di Malaysia dapat membantu negara keluar daripada status ekonomi berpendapatan sederhana.
Beliau berkata kelima-lima ekonomi itu mempunyai kekuatan yang saling melengkapi: sumber asli Indonesia, sektor semikonduktor dan infrastruktur digital Malaysia, kapasiti pembuatan Thailand, platform eksport Vietnam serta sektor perkhidmatan Filipina.
Bagaimanapun, beliau berkata cabaran yang lebih sukar ialah merealisasikan pelaburan itu, bukan sekadar menarik pelaburan masuk.
“Keselamatan tenaga, kredibiliti kawal selia dan kedalaman modal insan akan menentukan sejauh mana pelaburan yang diumumkan dapat diterjemahkan menjadi kapasiti operasi -- serta sejauh mana kapasiti itu mampu menghasilkan pemindahan teknologi, pekerjaan berkemahiran tinggi dan rantaian bekalan bernilai lebih tinggi.
“Skala menarik modal. Kredibiliti merealisasikannya. Pelaksanaan yang berkesan menggandakan manfaatnya,” katanya.
-- BERNAMA